Berita

Sanggup gaji RM50 sehari asal keluarga selamat – Faisal Halim

- Diterbit 13 Jun 2024 4:07 PM MYT

PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim sanggup meninggalkan bola sepak dan kehilangan gaji berpuluh ribu asalkan keselamatan diri dan keluarganya terus terjamin.

Menurut Faisal, dia juga tidak kisah untuk pulang ke kampung dan bekerja dengan gaji harian walaupun serendah RM50 sehari asalkan keluarganya tidak perlu hidup dalam ketakutan.

“Pada minggu kedua kejadian, saya cakap pada Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar bahawa saya sanggup hilang gaji saya berpuluh ribu asalkan saya dan keluarga saya selamat.

“Tetapi beliau janjikan bahawa keselamatan saya dan keluarga terjamin. Jadi saya terus semangat untuk bermain bola.

“Sebelum ini, saya ada cakap pada isteri dan keluarga bahawa saya sanggup balik kampung, lakukan kerja harian asalkan keluarga tidak perlu hidup dalam ketakutan,” katanya semasa sidang akhbar khas bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai tahap kesihatannya selepas pembedahan kali keempat.

Tambah pemain sayap sensasi Harimau Malaya itu, dia sendiri enggan mengingat kembali kejadian tersebut kerana ia merupakan satu tragedi yang sangat gelap buat diri, keluarga dan juga kariernya.

“Pada waktu itu, pertama sekali saya rasa badan saya panas dan pedih. Ada yang cakap (simbahan asid) itu tidak bahaya. Awalnya saya rasa okey sahaja. Saya mula rasa semangat kerana ingat tidak bahaya.

“Tetapi selepas semuanya habis, barulah saya sedar betapa bahaya dan luar biasa kejadian yang menimpa saya ini sebenarnya,” ujarnya sebak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas