Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 dijangka tarik lebih 100,000 pengunjung ke Putrajaya

PEMASANGAN bendera giat dilakukan di perkarangan PPj yang merupakan lokasi bagi Sambutan Hari Kebangsaan.
- Diterbit 24 Ogos 2023 2:00 AM MYT

KIRA-KIRA 100,000 pengunjung dijangka akan membanjiri Wilayah Persekutuan Putrajaya bersempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan pada 31 Ogos ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Parang Abai @ Thomas, persiapan dan penglibatan dalam aspek keselamatan sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan 2023 adalah di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara holistik dan menyeluruh dalam menjaga keselamatan orang awam.

“Antara langkah yang diambil oleh PDRM merangkumi pengawasan ketat terhadap kawasan yang terlibat dan sekitarnya, pengaturan lalu lintas untuk mengelakkan kesesakan, kawalan keselamatan terhadap sebarang bentuk ancaman serta kawalan keselamatan di tempat-tempat strategik seperti lokasi majlis berlangsung dan lokasi penting lain.

“Selain itu, mereka juga akan mengawal ketertiban awam, mengawasi pergerakan orang ramai dan bertindak pantas dalam menangani sebarang situasi yang boleh mengancam keselamatan orang awam,” jelas beliau PDRM akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi keselamatan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memastikan koordinasi yang baik dalam menangani sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam masa sama, Parang Abai berkata JWP dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi bagi Jawatankuasa Logistik dan Persiapan Tempat manakala Perbadanan Putrajaya (PPj) pula merupakan agensi yang memainkan peranan utama dalam melaksanakan tugas-tugas logistik dan persiapan tempat untuk.

“Tahap persiapan berada dalam perancangan kerja yang ditetapkan dan kami komited untuk menepati jadual penyerahan tapak sebelum sesi latihan skeleton persembahan dan latihan kawad kaki kontinjen yang akan bermula pada esok.

“Kami menjangkakan kehadiran fizikal seramai 100,000 orang warga Lembah Klang dan seluruh rakyat Malaysia di Dataran Putrajaya tahun ini di mana keseluruhan lokasi sambutan telah dibahagikan kepada lima zon dengan pelbagai kemudahan seperti Petak Diraja, pentas persembahan utama, tapak Anjung Floria untuk aset ketenteraan dan lain-lain,” katanya dalam Program Malaysia Hari Ini (MHI) pada Selasa.

Tambah beliau, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, boleh hubungi bilik gerakan JSPT KL di talian 03-2071 9999 atau layari Facebook @JSPTKL.

Di samping itu, menurut Parang Abai, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan untuk pengunjung yang hadir meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini termasuklah kemudahan bas ulang-alik (shuttle bus), tempat makan, tempat pameran selain penyediaan 7,652 petak Tempat Letak Kereta (TLK) berdekatan.

“Bagi yang ingin membawa kenderaan sendiri, TLK adalah terhad iaitu di sekitar Masjid Tuanku Zainal Abidin (Masjid Besi), parkir awam JWP dan Suasana PJH, sekitar Tugu Millenium, sekitar Myfarm di Presint 9, sekitar Putrajaya International Convention Centre (PICC), parkir awam sekitar Kementerian Pengangkutan Malaysia, parkir awam bertingkat sekitar Terminal Putrajaya Sentral (TPS), parkir awam sekitar Bulatan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sekitar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD)/Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)/Jabatan Peguam Negara di Presint 4 dan bagi kenderaan e-hailing pula boleh menurunkan penumpang di sekitar kawasan Masjid Besi/Kiblat Walk dan Jalan Tun Hussien (belakang Istana Kehakiman).

“Pengunjung juga digalakkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti Express Rail Link (ERL), Mass Rapid Transit (MRT) dan bas perantara (Rapid dan Nadiputra) TPS di Presint 7.

“Selain itu, pengunjung turut disarankan tiba awal di tapak sambutan kerana jalan akan ditutup seawal pukul 6 pagi bagi memastikan kelancaran acara. Untuk yang datang bersama keluarga, pastikan membawa sekurang-kurangnya makanan ringan dan bekalan air minuman. Pakai pakaian yang selesa dan bawalah topi dan payung jika perlu. Keselamatan dan keselesaan pengunjung adalah keutamaan penganjur,” ujarnya lencongan jalan akan bermula pada 27 hingga 29 Ogos 2023 (latihan dan raptai) iaitu seawal pukul 5 hingga 11 pagi dan akan melibatkan 18 jalan di sekitar Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas