Berita

Salurkan sumbangan untuk gelandangan di dua lokasi – DBKL

MAHADI (dua dari kiri) menasihatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) menggunakan kemudahan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada golongan tersebut.
- Diterbit 22 Disember 2022 8:28 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi menyelamatkan 77 gelandangan di sekitar Masjid Jamek, Masjid India, Jejantas Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu, Jalan Silang dan Bangkok Bank diselamatkan pada Jumaat.

Operasi yang bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Alam Flora Sdn Bhd.

Seramai 119 anggota dan pegawai mewakili pelbagai agensi terbabit turun padang mendekati sahabat jalanan yang dikesan menghuni di kaki lima dan jejantas awam sebagai tempat tinggal mereka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata warga kota yang ingin menyumbang makanan kepada golongan ini boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke dua pusat gelandangan iaitu Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tunku.

“Warga kota boleh juga menyumbang makanan di satu pusat komuniti iaitu Pusat Pembelajaran Komuniti, Chow Kit.

“Kawal selia ini dilaksanakan bagi mengelak berlaku pembaziran dan kekotoran,” katanya selepas operasi tersebut.

Kesemua gelandangan yang diselamatkan itu akan melalui proses saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Anjung Kelana bagi tujuan pemulihan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas