Berita

Sajian tetap berkualiti dan bertaraf hotel lima bintang, Bukan untuk keuntungan – Chef Hairy

CHEF dari Hotel Pulse Grande menyemai bakti di Dapur Prihatin, pastikan sajian berkualiti tinggi dan sesuai citarasa Malaysia.
- Diterbit 24 Julai 2021 1:30 AM MYT

“WALAUPUN  bukan bertujuan keuntungan, tetapi hidangan yang disediakan tetap berkualiti dan bermutu tinggi sebagaimana hidangan kepada pelanggan hotel,” kata Chef Eksekutif Pulse Grande Putrajaya, Hairy Ismail A Rahman.

Beliau yang kini mengetuai pasukan chef di Dapur Prihatin, RumahPrihatin@GrandSeasons berkata, sebelum pandemik melanda dunia, tugas chef hotel adalah untuk mencari keuntungan.

Justeru, ujarnya, perasaan gembira dan teruja menguasai diri selepas dirinya diberi peluang untuk berkhidmat di Dapur Prihatin.

“Tetamu bayar, jadi kita kena puaskan hati tetamu yang hadir di hotel. Apabila diberi peluang untuk berkhidmat di sini (Dapur Prihatin), suasana yang dirasai amat berbeza kerana saya perlu sediakan makanan untuk orang yang sangat memerlukan.

“Sebelum ini, saya kena kira berapa kos dan berapa keuntungan yang boleh diperoleh. Sekarang tidak ada, hanya kira kos sahaja dan lebih kepada membantu orang dan bersifat kebajikan.

“Paling utama adalah, saya suka dengan perkara kebajikan ini kerana kalau dilihat dari segi kewangan, saya tidak semampu orang lain yang berpeluang menghulurkan sumbangan. Saya hanya dapat sedekah kepada masjid sahaja,” ceritanya gembira.

HAIRY ISMAIL

Menurut Hairy Ismail lagi, pada masa ini, pengalaman yang digarap lebih 12 tahun amat bermakna kerana setiap hari perlu menyediakan kira-kira 1,000 pek hidangan untuk petugas barisan hadapan serta golongan memerlukan termasuk gelandangan.

Ujarnya yang pernah menyertai pasukan khas mempromosikan masakan Malaysia ke beberapa negara seperti Argentina, Brazil, China dan Maldives, hidangan di Dapur Prihatin perlu lebih kreatif dan dipelbagaikan.

Katanya, selari dengan citarasa Malaysia yang makanan rujinya adalah nasi, sajian turut disertakan dengan protein dan sayuran.

Malah, ujarnya, nasi juga dipelbagaikan pada setiap hari Jumaat seperti nasi ayam mahupun nasi briayani.

“Di sini (Dapur Prihatin) pasukan kita turut dibantu Sukarelawan Prihatin (PriVo) kerana hanya enam orang sahaja staf daripada Hotel Pulse Grande Putrajaya.

“Waktu penyediaan memasak bermula pukul 5 pagi dan siap dibungkus pada pukul 6.30 pagi oleh PriVo,” katanya yang turut menerapkan semangat kesukarelawan ke dalam diri stafnya di samping membimbing pasukan PriVo.

Dalam pada itu, Hairy Ismail mengucapkan syukur kerana sepanjang tempoh bersama Dapur Prihatin, dia mempunyai banyak masa bersama keluarga berbanding ketika bertugas di hotel. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas