Berita

Labuanfm bantu golongan OKU

MICHEAL (dua dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada penerima dan turut disaksikan Pengarah JKM Labuan, Ansharey Matarsad (hujang kanan).
- Diterbit 24 Julai 2021 2:00 AM MYT

ATAS keprihatinan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang turut terjejas akibat penularan wabak COVID-19, Sinergi LABUANfm tampil menyalurkan bantuan bakul makanan kepada golongan itu.

Pengarah Penyiaran Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, program itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) penyampai radio dan kakitangan LABUANfm untuk membantu golongan OKU di PPDK dan ahli-ahli Persatuan Bagi Orang-Orang Istimewa Labuan (PBOOIL) yang terjejas akibat pandemik COVID-19 melanda negara.

Katanya, seramai 70 orang pelatih PPDK dan ahli PBOOIL menerima pengagihan kit makanan secara pandu lalu di perkarangan pejabat JKM Labuan.

“Antara objektif pelaksanaan program adalah untuk menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan membantu golongan yang terjejas dengan menyampaikan bantuan kepada mereka agar tidak merasa tersisih terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Labuan kini.

“Selain itu, program ini juga dapat memupuk keprihatinan dalam masyarakat menerusi gandingan kerjasama antara jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat lalu.

Jelas Aminah lagi, LABUANfm bukan sahaja berperanan menyebarluaskan inisiatif dan mesej kerajaan menerusi siaran radio dan media sosial tetapi juga turut menyantuni mereka yang memerlukan.

Sementara itu, wakil Dorsett Grand Hotel, Micheal Andin berkata, pihaknya sentiasa menyantuni golongan OKU setiap tahun dengan melaksanakan pelbagai program. Micheal berkata, pada tahun ini pihaknya telah sumbangkan sebanyak 70 bakul makanan kepada golongan OKU kerana setiap tahun pihaknya mengadakan program bersama OKU seperti program berbuka puasa dan sebagainya.

“Oleh kerana pandemik Covid-19 kita hanya menyumbangkan bakul makanan kepada mereka.

“Kita akan teruskan sokongan dan program CSR dengan NGO dan golongan yang kurang berkemampuan di Labuan termasuk mempertimbangkan pelbagai bentuk bantuan yang lain,” katanya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas