
RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak dibentang minggu hadapan
RANG Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia bakal dibentangkan di Parlimen pada 30 November nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau yakin bacaan kali pertama RUU itu dapat dibentangkan.
Azalina turut mengharapkan agar RUU itu dapat dibentangkan selepas RUU Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa diluluskan.
“Selepas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 selesai, kami ada tiga hari untuk pembentangan rang undang-undang lain, jadi kami cuba juga pada sesi kali ini, ada masa untuk pastikan bacaan kali pertama dapat kami lakukan.
“Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 juga akan dibuat bersekali dengan pembentangan RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pameran Hari Kanak-Kanak Sedunia sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2023, di Lobi Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Azalina menyeru semua pihak semua pihak terlibat bersatu hati dalam memperjuangkan isu berkaitan perlindungan serta hak kanak-kanak. – WILAYAHKU