Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan petisyen cabar enakmen syariah Kelantan
Kredit foto: kehakiman.gov.my

Mahkamah Persekutuan tangguh keputusan petisyen cabar enakmen syariah Kelantan

MAHKAMAH Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan kepada tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi memutuskan petisyen yang difailkan oleh seorang peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nas­tasha Tengku Abdul Rahman dan yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Petisyen yang difailkan adalah bagi mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen tersebut terbatal dan tidak sah.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Tuan Maimun Tuan Mat, berkata mahkamah akan menetapkan keputusan itu kemudian.

“Kami akan bersidang dan membincangkannya,” katanya selepas mendengar hujahan lisan daripada semua pihak.

Keputusan ini bermakna mahkamah tertinggi negara akan membuat keputusan pada hari lain mengenai perkara itu.

Beliau berkata demikian selepas selesai mendengar hujahan antaranya daripada peguam mewakili Sisters In Islam (SIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan Majlis Peguam.

Panel itu dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Turut menganggotai panel sama, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Tengku Maimun menegaskan tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini.

“Isu dalam pendengaran petisyen itu bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang. Kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.

“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hari ini hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan Mahkamah Syariah,” ujarnya. – WILAYAHKU

Share This