Berita

Rumah teres dua tingkat ranap

MAHADI (tengah) mengadakan sesi libat urus bersama penduduk yang terjejas dan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif IKRAM, Datuk Mohd Taufik Haron pada Isnin. MAHADI (tengah) mengadakan sesi libat urus bersama penduduk yang terjejas dan
- Diterbit 28 Mei 2022 1:30 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan Notis
Berhenti Kerja (Stop Work Order) serta-merta kepada pemaju projek pembinaan pangsapuri servis bagi memberi laluan kepada Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) menjalankan kajian di tapak kejadian pergerakan tembok penahan (Contiguous Bore Pile – CBP Wall).

Bercakap mengenai insiden berkenaan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menjelaskan bahawa pihaknya hanya membenarkan pemaju menjalankan kerja-kerja baik pulih sehingga keadaan di tapak kembali selamat.

“Pemaju turut diminta mengemukakan cadangan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi isu-isu di tapak pembangunan.

“Mereka juga dikehendaki mengarahkan juru perundingnya untuk menyemak semula reka bentuk tembok penahan di keseluruhan tapak pembangunan tersebut,” katanya dalam sidang media di Jalan Selangat, Taman Pertama Cheras di sini pada Isnin.

Mahadi berkata, pihak IKRAM akan melakukan kerja-kerja pemantauan di tapak berkenaan termasuk menyemak semula reka bentuk tembok penahan yang disediakan oleh juru perunding pemaju bagi keseluruhan pembangunan tersebut.

“Kita dapati hampir 40 peratus atau hampir satu meter daripada keseluruhan penahan tembok sedia ada telah bergerak dan dianggarkan lebih 2,000 kubik meter tanah akan dibawa ke tapak untuk menstabilkan keadaan di kawasan tersebut.

“Oleh itu, pemaju akan menjalankan kerja-kerja pengukuhan tembok penahan dengan kaedah penyediaan tambakan tanah (earth berm) dan blok konkrit (concrete block) untuk tujuan pengukuhan,” katanya.

Beliau juga berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan melalui Jabatan Perancangan Infrastruktur dan Jabatan Penguatkuasaan akan berada di tapak setiap hari sehingga ia kembali selamat.

Tambahnya, bekalan elektrik dan air ke rumah yang terjejas juga telah dihentikan atas faktor keselamatan.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif IKRAM, Datuk Mohd Taufik Haron.

Dalam kejadian pada awal pagi Ahad, sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian runtuh serta enam buah rumah berdekatan telah diarah dikosongkan atas faktor keselamatan.

Penghuni rumah-rumah yang terlibat juga telah berpindah ke hotel berdekatan dan kos penginapan ditanggung oleh pihak pemaju. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas