Berita

RM5.3 juta geran diserah kepada 92 persatuan rumah ibadat selain Islam

BANTUAN Kewangan sebanyak RM5.3 juta kepada 92 wakil. Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 7 Julai 2022 7:52 AM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) menyerahkan Geran Bantuan Kewangan sebanyak RM5.3 juta kepada 92 wakil Persatuan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) semalam.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata geran itu adalah untuk membantu pihak pengurusan rumah ibadat mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penganut yang datang untuk beribadat.

Beliau berkata keperluan utama dalam agihan peruntukan itu adalah bagi tujuan pembaikan, penyelenggaraan dan kecemasan yang merangkumi tiga skop utama iaitu kerja-kerja sivil, elektrik dan mekanikal.

“Geran khas ini diperuntukkan sebagai usaha berterusan kerajaan bagi membantu pihak pengurusan membaiki dan menyelenggara rumah ibadat supaya berada dalam keadaan yang selamat dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halimah berkata RM5.3 juta itu adalah sebahagian daripada Geran Bantuan Kewangan RISI sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi tahun ini menerusi Belanjawan 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022 pada 6 Nov tahun lepas mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan pihak berkuasa tempatan serta pelaksanaan aktiviti-aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas