Berita

RM30 juta bagi Perumahan Awam Council Home Kampung Sungai Udang – DBKL

COUNCIL home atau rumah transit dikhususkan untuk pasangan yang baru berkahwin dan didiami untuk tempoh dua tahun. - Gambar hiasan COUNCIL home atau rumah transit dikhususkan untuk pasangan yang baru berkahwin dan didiami untuk tempoh dua tahun. - Gambar hiasan
- Diterbit 17 Disember 2020 5:37 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM30 juta untuk menyiapkan projek Perumahan Awam Council Home Kampung Sungai Udang, Segambut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, peruntukkan itu susulan pihaknya menerima lebih 37,000 permohonan penyewaan perumahan awam (PA) dan projek perumahan rakyat (PPR) yang mana ia masih belum ditawarkan kepada warga kota sejak 2010.

Jelasnya, tawaran tersebut dihentikan seketika kerana ketiadaan kekosongan unit di kedua-dua perumahan berkenaan.

“Projek yang dijangka siap ada akhir 2021 nanti bakal memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga.

“Bukan itu sahaja, DBKL juga dalam perancangan untuk membina sebuah lagi Perumahan Awam Council Home di Jalan Semeling, Cheras yang dijangka menelan keseluruhan kos sekitar RM200 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan DBKL 2021 hari ini.

Beliau berkata, pembangunan turut dilakukan di Residensi Taman Desa di Jalan Desa, Taman Desa yang menelan keseluruhan kos sebanyak RM325 juta.

Dalam pada itu, Mahadi berkata, bagi memastikan aspek kesejahteraan komuniti warga kota sentiasa terbela, hampir RM68 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja selenggara dan pembersihan kawasan rumah PA dan PPR manakala RM10 juta diperuntukkan bagi penggantian lif.

Selain itu, katanya, DBKL turut menyumbangkan hampir RM8.7 juta bagi membantu warga kota yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi program kesihatan awam dan pencegahan penularan wabak.

Tambahnya, pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) disasarkan sebanyak 70 peratus menerusi penggunaan teknologi solar di bangunan milik DBKL termasuk Stadium Titiwangsa bermula akhir 2021 dan penggunaan tenaga elektrik bagi perkhidmatan bas GoKl. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas