Berita

DBKL umum bajet defisit dengan peruntukan RM2.653 bilion

- Diterbit 17 Disember 2020 5:25 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengumumkan pengurangan Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM2.653 bilion disebabkan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pengurangan tersebut disebabkan agensi kehilangan hasil sebanyak RM800 juta sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya menganggarkan kutipan hasil bagi tahun hadapan adalah RM1.964 bilion iaitu penurunan hampir 22.2 peratus berbanding RM2.523 bilion pada 2020.

“Hasil utama DBKL adalah daripada hasil cukai taksiran berjumlah RM1.29 bilion yang menyumbang 65.7 peratus kepada hasil keseluruhan bandaraya.

“Bagi bantuan geran kerajaan dan lain-lain adalah berjumlah RM267.64 juta. Oleh itu, defisit sebanyak RM 421.5 juta akan dibiayai melalui rezab dalaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan 2021 DBKL.

Mengulas tentang Belanjawan 2021 yang bertemakan ‘Sayangi Kuala Lumpur, Kota Sejahtera’ ujar Mahadi, peruntukan yang disediakan merangkumi dua cabang utama iaitu RM1.762 bilion bagi aspek pengurusan manakala RM891 juta dikhususkan untuk pembangunan.

Jelas beliau, DBKL masih mengekalkan lima komponen utama dalam peruntukan mengurus iaitu perkhidmatan dan bekalan (RM1.103 bilion); gaji dan manfaat pekerja (RM478 juta); pemberian dan bayaran tetap (RM98.7 juta); bayaran lebih masa (RM60.4 juta) dan perbelanjaan lain (RM21.2 juta).

Bagi aspek pembangunan, ujar beliau, peruntukan terbahagi kepada pembiayaan oleh DBKL menerusi bajet RM623.7 juta serta pembiayaan kerajaan pusat dan lain-lain sebanyak RM267.6 juta.

“Demi memastikan keadaan infrastruktur jalan serta sistem saliran sentiasa di tahap terbaik, DBKL memperuntukkan lebih RM392 juta untuk kerja-kerja berkaitan jalan, sungai, cerun dan longkang.

“Hampir RM70 juta disediakan bagi pembinaan terowong dan penyuraian trafik serta kerja naik taraf jalan sekitar Jalan Tun Razak. Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, RM40 juta diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya bertingkat di sekitar Pusat Bandar Damansara.

“Kita juga menyediakan RM130 juta bagi mengurangkan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan RM17 juta untuk naik taraf sistem perparitan di stesen transit aliran ringan (LRT) Sungai Besi dan MRR2 (Lebuhraya Lingkaran Tengah),” jelasnya.

Mengulas tentang pengecualian yang diperuntukkan termasuk sewaan premis dan rumah miliknya, Mahadi berkata, ia bergantung pada keadaan semasa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas