Berita

RM1.2 juta kompaun dikeluarkan di Labuan

MENURUT Superintendan Ahmad Jawila, tindakan tegas akan diambil dan mengeluarkan kompaun akan dikenakan kepada individu ataupun syarikat yang melanggar SOP PPN Fasa 1.
- Diterbit 3 Ogos 2021 4:46 AM MYT

SEJUMLAH  RM1.2 juta kompaun dikeluarkan pihak penguat kuasa di Pulau Bebas Cukai ini atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 hingga semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Ahmad Jawila, daripada jumlah keseluruhan kompaun itu adalah daripada 752 kompaun yang dikeluarkan ke atas individu dan syarikat.

Katanya, kesemua kompaun yang telah dikeluarkan adalah melibatkan pelanggaran SOP iaitu pergerakan tanpa tujuan (riadah tepi pantai), lebih had penumpang, gagal imbas MySejahtera dan rentas negeri tanpa permit yang sah.

“Di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan, kita (penguat kuasa) telah berjaya mengeluarkan sebanyak 752 kompaun yang bernilai sejumlah RM1.2 juta sejak 18 Mac 2020 sehingga semalam.

“Daripada jumlah keseluruhan kompaun itu sebanyak RM346,000 telah pun dibayar oleh mereka yang telah dikenakan kompaun,” kepada pemberita ketika Ops COVID-19 Bersepadu Pesisir Pantai dan Perairan Labuan, semalam.

Jelas Ahmad, tindakan tegas akan diambil dan mengeluarkan kompaun akan dikenakan kepada individu ataupun syarikat yang melanggar SOP PPN Fasa 1.

Katanya, tindakan tegas yang dilaksanakan itu menunjukkan kesungguhan agensi penguat kuasa di Labuan dalam mengekang penularan COVID-19.

“Kita amat serius dalam menjalankan pelaksanaan pematuhan dan pemantauan SOP untuk melandaikan pandemik COVID-19 di Labuan,” katanya lagi. — WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas