Berita

3 parti komponen PN, sepakat santuni penduduk Putrajaya

TUN Faisal menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada salah seorang daripada 100 penerima manfaat hasil bantuan Program Kongsi Rezeki di Putrajaya, semalam. TUN Faisal menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada salah seorang daripada 100 penerima manfaat hasil bantuan Program Kongsi Rezeki di Putrajaya, semalam.
- Diterbit 2 Ogos 2021 8:58 AM MYT
WAKIL Sukarelewan PriVo menyerah sumbangan kepada penerima terpilih. Turut kelihatan Haji Ahmah Roshidi (kiri) dan Mohd Fathul Azam (kanan).

KESEPAKATAN dan kerjasama proaktif daripada ketiga-tiga jentera parti komponen membentuk Perikatan Nasional (PN) membolehkan penduduk kelompok B40 di Putrajaya yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dibantu dengan sewajarnya.

Inisiatif bantuan yang dilaksana melalui program Kongsi Rezeki itu secara langsung membolehkan tiga parti iaitu UMNO PAS dan Bersatu senada di dalam menyalurkan bantuan kepada warga yang memerlukan di Putrajaya.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, sejumlah 100 pek sumbangan barangan keperluan dapur diagihkan kepada penduduk memerlukan khususnya B40, termasuk asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal yang kini berdepan cabaran hidup.

Beliau berkata, pek barangan sumbangan berupa beras, minyak masak, guka, tepung, sardin, biskut dan lain-lain produk makanan setiap satu bernilai RM100 diberikan kepada penduduk terpilih yang memerlukan sebagai usaha membantu mereka meringankan beban belanja.

“Program Kongsi Rezeki ini dilaksanakan berkala seminggu sekali, dengan setiap kali program ini diadakan, seramai 100 penduduk akan mendapat bantuan barangan keperluan.

“Usaha dijayakan hasil kesepakatan tiga parti komponen PN ini menjadi bukti kerjasama serta toleransi yang boleh digembleng demi membantu rakyat memerlukan dalam situasi COVID-19.

“Inisiatif ini sebagai manifestasi menunjukkan kesaling hubungan sesama parti dalam PN boleh diterjemahkan untuk membantu rakyat dan kami berharap menjadi contoh kepada bahagian atau kawasan lain memperkukuh membantu warga,” katanya selepas serahan program Kongsi Rezeki di Blok D, Perumahan Fasa 4A, Presint 11, di sini.

Turut hadir, Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya,
Mohd Fathul Azam Hashim; YDP PAS Kawasan, Haji Ahmad Roshidi Wahab dan Ketua Pemuda Negara Wilayah Persekutuan, Adi Akmal Isa.

Dalam progran kali ini, seramai 100 penduduk di empat kawasan penempatan di sekitar Putrajaya terpilih menerima sumbangan antaranya Blok C, Pangsapuri Putra Damai dan PPIM Palma, Presint 11 selain Perumahan Fasa 2, Blok B, Presint 9.

Sementara itu, Mohd Fathul Azam pula berkata, jalinan kerjasama dirintis membuktikan berbeza parti bukan halangan yang besar untuk memberi khidmat kepada rakyat dengan keutamaan adalah berpolitik secara sihat demi memanfaat negara.

“Program Kongsi Rezeki ini adalah pentas kedua kesemua wakil parti bersama di dalam pasukan untuk menyantuni penduduk di Putrajaya selepas kami bersama kali pertama pada perayaan lalu.

Alhamdullilah hubungan kerjasama dan fokus pelaksanaan program ini masih sama iaitu untuk membantu rakyat yang memerlukan. Jadi, saya tidak melihat perbezaan ideologi parti menjadi halangan kerana politik sebenar adalah kaedah mentadbir dan menguruskan keperluan rakyat dan itulah yang kami lakukan di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Roshidi pula menjelaskan aspek penyatuan dan persefahaman perlu diberi keutamaan dalam berpolitik bagi melahirkan satu ketimbulan politik yang kuat dan berjaya.

Katanya, PAS Kawasan Putrajaya optimis dengan kerjasama dan kesepakatan yang dicapai, aspek kebajikan rakyat setempat akan diberi perhatian khusus bagi melestarikan keperluan rakyat.

“Selain menggerakkan program bersama, PAS Kawasan Putrajaya turut sediakan bantuan lain yang diperlukan warga setempat. Mereka yang memerlukan sila hubungi wakil kami, Sekretariat Bantuan PAS Kawasan Putrajaya di nombor talian 011-1503 5400 untuk sebarang maklumat lanjut yang berkaitan,” jelasnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas