Artikel

Risiko pencemaran sudah dijangka

KESAN pencemaran minyak yang berlaku. - Gambar hiasan
KESAN pencemaran minyak yang berlaku. - Gambar hiasan
- Diterbit 26 Julai 2019 12:48 AM MYT

MASALAH gangguan bekalan air akibat henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 ekoran pencemaran diesel merupakan salah satu perkara yang meresahkan warga Lembah Kelang termasuk di ibu kota.

Bekalan air di tiga wilayah termasuk Kuala Lumpur akhirnya pulih sepenuh­nya pada Rabu lalu setelah beberapa hari tangki air penduduk kekeringan. Dalam kes terbaharu sebanyak 117,837 akaun di Kuala Lumpur terlibat manakala selebihnya di beberapa daerah di Selangor.

Kita sebenarnya sudah lali mendengar tentang masalah gangguan bekalan air. Jika gangguan berjadual kerana kerja-kerja penyenggaraan, perkara itu boleh diterima.

Namun orang ramai mengeluh apabila terputus bekalan air kerana sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak dan ada dakwaan menyatakan ini adalah kerja sabotaj.

Air Selangor bertindak pantas apabila berjaya mengesan pencemaran di Sungai Selangor lebih awal. Jika bahan cemar telah memasuki muka sauk sudah pasti usaha pemulihan terpaksa memakan masa lebih lama.

Dalam hal ini, sebenarnya risiko berlaku pencemaran sudah dapat dijangka berlaku. Berdasarkan tinjauan penulis pada tahun 2014 di sepanjang jajaran Sungai Selangor dan Sungai Langat terdapat hampir 20 lokasi berisiko berlaku pencemaran. Apa tidaknya ada lokasi tersebut menjadi tempat penternakan haiwan, kawasan kuari, aliran masuk air sungai yang sudah menjadi longkang dan sebagainya.

Ini tidak termasuk setiap musim kemarau terdapat risiko pencemaran ammonia ekoran paras air sungai agak rendah sehingga air sisa kumbahan tidak dapat dineutralkan.

Dalam hal ini, timbul pertanyaan masih relevankah kedudukan loji rawatan air yang ada sekarang? Bayangkan kesan pencemaran diesel di Sungai Selangor dikesan kira-kira 60 kilometer dari muka sauk. Bayangkan sepanjang jajaran sungai itu pelbagai faktor boleh menyebabkan pencemaran. Kawasan huluan sungai kini bukan lagi pedalaman sebaliknya dipenuhi pembangunan pesat dan aktiviti berisiko. Ini belum berlaku lagi pencemaran kimia yang sudah pasti mendatangkan risiko lebih besar.

Sewajarnya jajaran sungai menghala ke muka sauk diletakkan di bawah status kawasan keselamatan. Ini kerana masalah ketiadaan air boleh mendatangkan risiko berlakunya pecah keamanan dalam masyarakat. Perlu juga diwujudkan zon penampan di kawasan sungai agar tiada aktiviti berisiko dilakukan. Kerajaan perlu lebih tegas menguatkuasakan peraturan sebagaimana dilakukan di kawasan tadahan air dan empangan yang dijaga keselamatannya.

Bagi Kuala Lumpur yang bergantung kepada Air Selangor cukup kritikal jika berlaku pencemaran kerana ia melibatkan kepadatan penduduk yang tinggi. Sudah sampai masanya juga Kuala Lumpur membangunkan sistem bekalan air bersih sendiri sebagai alternatif sekiranya berlaku masalah gangguan bekalan air.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas