Berita

Rintihan dua sahabat di sebalik PKPD di Sibu Jaya

- Diterbit 18 Februari 2021 10:01 AM MYT

MICHAEL Jingga, 51, dan Henry Jalak, 57, yang sudah lama bersahabat dan berjiran di Sibu Jaya, sebuah kawasan bandar baharu yang terletak kira-kira 30km dari pusat bandar ini, kini berdepan saat mencabar sejak penularan pandemik COVID-19.

Kediaman mereka adalah antara 20 blok rumah pangsa di Sibu Jaya yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 12 Feb lepas dan perintah itu turut meliputi kawasan perumahan Town Villa di situ berkuat kuasa sehingga 25 Feb.

“Saya akur PKPD ini perlu bagi mengekang penularan COVID-19 tetapi ia turut menyebabkan kami tidak dapat pergi bekerja dan menyara hidup kami,” kata Michael semasa dihubungi Bernama.

Kedua-dua sahabat itu bekerja sebagai pemotong rumput dengan sebuah syarikat kontraktor pembersihan di sini, namun mereka tidak dapat bekerja sejak 26 Jan lalu setelah kedua-duanya disahkan positif COVID-19 dalam satu saringan, setelah mengalami demam, batuk dan beberapa gejala lain dikaitkan dengan penyakit itu.

“Selama seminggu kami dirawat di Hospital Sibu dan kemudiannya dikuarantin lagi di rumah sehinggalah kami sembuh dan sewaktu kami sudah bersedia untuk kembali bekerja, majikan kami melarang atas alasan takut penularan COVID-19 berlaku lagi,” kata Michael.

Hasrat untuk kembali bekerja itu tertangguh lagi apabila pada 10 Feb lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan pelaksanaan PKPD di Sibu Jaya berikutan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di kawasan itu.

Michael berkata sebaik sahaja selesai menjalani kuarantin di rumah, beliau telah pergi ke bank di Sibu Jaya untuk mengambil gajinya namun terkejut setelah mendapati gaji bulan Januarinya hanya RM500 sahaja, berbanding RM1,000 yang sepatutnya diterima.

“Saya cuba menghubungi majikan saya beberapa kali menerusi telefon untuk mendapatkan penjelasan berhubung pemotongan gaji ini tetapi tidak berjawab sehingga hari ini. Rasanya ini tidak adil kerana saya tidak dapat bekerja kerana sakit (COVID-19) dan bukannya sakit yang biasa,” jelasnya dengan nada sedih.

Dia kini buntu untuk mencari sumber pendapatan lain kerana sepanjang PKPD ini, mereka tidak dibenarkan keluar rumah dan beliau juga perlu menjelaskan bayaran bulanan RM260 untuk rumah yang mereka sewa sejak empat tahun lepas itu.

Henry juga turut mengalami nasib serupa apabila gaji bulan Januari hanya RM500 sedangkan gaji yang dijanjikan ialah RM1,000 sebulan dan slip gaji pun tidak diberikan sebagai rujukan.

Beliau berkata jumlah gaji sebanyak itu memang tidak mencukupi untuk menampung pembiayaan keperluan harian mereka sekeluarga iaitu isteri dan tiga orang, seorang belajar di sekolah menengah.

“Bayaran ansuran flat sebanyak RM300 sebulan, tidak temasuk bil elektrik dan air lagi,” kata Henry.

Michael berkata bagi menampung keperluan makanan, beliau bersama Henry menanam padi di atas tanah seluas kira-kira 0.809 hektar tidak jauh dari kawasan Sibu Jaya sejak tiga tahun lalu untuk menampung kos membeli beras.

“Kami tidak jual, tapi beras ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan keluarga kami, sekurang-kurangnya tidak perlu membeli bekalan beras untuk tempoh enam hingga tujuh bulan. Dapatlah juga meringankan beban kewangan sedikit dan (duit) boleh digunakan untuk kegunaan lain,” kata Michael.

Selesai PKPD ini, kedua-dua sahabat ini bercadang untuk pergi ke Jabatan Tenaga Kerja bagi mendapatkan nasihat berhubung masalah pemotongan gaji mereka sekiranya masih belum mendapat penjelasan daripada majikan mereka.

“Kami memang ada menerima bantuan bakul makanan dan keperluan lain daripada kerajaan sewaktu PKPD ini tetapi sampai bila kami hendak bergantung kepada bantuan kerajaan sahaja? Kami ingin kembali bekerja supaya dapat terus menyara keluarga selepas situasi ini berakhir,” kata Michael. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas