Berita

Pengusaha kilang disaran tutup operasi secara sukarela

KLANG 19 NOVEMBER 2020. Kelihatan petugas perubatan KKM melakukan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja Kilang Top Glove di pintu pagar hadapan asrama mereka pada hari ini. Asrama pekerja syarikat Top Glove di Meru, Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini sehingga 30 November ini. UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
- Diterbit 18 Februari 2021 9:55 AM MYT

PENGUSAHA kilang disaran mengambil inisiatif dengan menutup operasi masing-masing sekiranya terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja mereka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tindakan itu bukan sahaja mampu menurunkan kes dalam sektor perkilangan dan pembuatan tetapi secara tidak langsung mampu menyekat penularan wabak dalam kalangan komuniti.

Beliau berkata sektor tersebut merupakan penyumbang tertinggi kepada jumlah kes positif harian di mana sehingga semalam daripada 41,396 kes aktif keseluruhan yang direkodkan, 14,423 kes adalah daripada sektor itu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti sebanyak 203 kluster kilang dan pembuatan daripada keseluruhan 236 kluster yang masih aktif bagi gelombang ketiga ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah kilang di Pulau Indah di sini yang ditutup secara sukarela hari ini berikutan 57 daripada 102 pekerja dikesan positif COVID-19 sejak kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata salah satu punca penurunan kes aktif COVID-19 kebelakangan ini, adalah susulan penutupan operasi kilang semasa perayaan Tahun Baharu Cina minggu lalu.

Bagaimanapun, katanya, KKM masih menjalankan aktiviti saringan di lapangan seperti sebelum ini.

Semalam, negara merekodkan 2,998 kes baharu COVID-19 dan 22 kematian, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 272,163 kes dan jumlah kematian sebanyak 1,005 kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas