Selebriti

Rezeki terpijak, Zarul Umbrella dilantik sebagai felo MEATECH

Zarul akan berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri penerbangan.|PENGASAS YEG Academy
- Diterbit 21 April 2022 6:05 AM MYT

PENYANYI dan pelakon Zarul Umbrella tidak menyangka minatnya terhadap dunia penerbangan dan sering memuat naik kandungan tentang karier dunia atas awan itu untuk kesedaran masyarakat menerusi saluran YouTube miliknya memberi tuah apabila dia dilantik selaku felo Pusat Latihan Teknikal MEATECH.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya, Zairulkefli Husin, 49, dia bersetuju dengan pelantikkan berkenaan atas sebab mahu pelajar dalam bidang penerbangan dapat melihat dunia pekerjaan sebenar menerusi pengalamannya.

“Saya dilantik sebagai felo MEATECH selama setahun berdasarkan pengalaman selama 16 tahun sebagai pramugara Malaysia Airlines.

“Tugas saya adalah berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri penerbangan.

“Industri penerbangan bukan sekadar juruterbang, pramugara, pramugari dan pekerja barisan hadapan di lapangan terbang, sebaliknya sangat luas termasuklah industri kargo dan karier dalam perkhidmatan pengendalian darat yang bukan hanya ada di Malaysia, tetapi seluruh dunia,” jelas Zarul.

SEBAGAI felo, Zarul akan berkongsi pengalaman dan mendedahkan pelajar kepada dunia sebenar industri penerbangan.

Ditebak tentang masa depan para pelajar dalam dunia penerbangan, Zarul yakin peluang buat mereka untuk membina kerjaya begitu cerah.

“Semasa pandemik COVID-19 melanda dan seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai daripada pekerja penerbangan yang dibuang kerja dan ada yang bekerja tanpa gaji.

“Sepanjang dua tahun ini kebanyakan bekas pekerja penerbangan sudah bekerja dalam bidang yang lain termasuk ada yang memulakan perniagaan sendiri. Jadi, apabila industri penerbangan pulih dan mereka dipanggil bekerja semula, bukan semua akan kembali bekerja.

“Jadi, banyak ruang-ruang kosong yang boleh diisi oleh pelajar-pelajar baharu ini. Satu kelebihan buat pelajar baharu ini, kerana mereka telah dilatih secara profesional oleh pensyarah yang sebelum itu memang bekerja dalam industri penerbangan,” tutur Zarul.

Zarul dilantik sebagai felo MEATECH pada majlis pelancaran program-program diploma dalam industri penerbangan sempena kempen YEG Pesta Sambung Belajar #jangansalahpilihbidang, YEG Academy di Johor Bahru baru-baru ini.

 

Menerusi kempen tersebut YEG Academy yang telah berkerjasama dengan MEATECH sejak 2018 menawarkan pelbagai diploma dalam bidang penerbangan.

Antaranya, adalah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Operasi Penerbangan, Diploma Pengurusan Penerbangan Kargo, Pra Diploma Operasi Penyelenggaraan Pesawat dan Sijil Kemahiran Operasi Penyelenggaraan Pesawat.

PENGASAS YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi.

Tambah pengasas YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, biarpun industri penerbangan hampir lumpuh selama dua tahun kerana pandemik COVID-19, kini senarionya berbeza apabila pintu sempadan kembali dibuka dan rutin penerbangan sudah kembali seperti biasa.

Peluang kerjaya terbuka luas buat pelajar-pelajar baharu apabila pihak IATA (The International Air Transport Association) telah mengeluarkan statistik bahawa industri penerbangan tempatan memerlukan 450,000 tenaga kerja.

Selain itu, industri penerbangan tempatan juga menyumbang 3.5 peratus peratus Keluaran Dalan Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Ketika kami bermula, memang tidak dikenali, tetapi hari ini kami antara kolej yang mengeluarkan pelajar paling ramai yang bekerja dalam syarikat penerbangan.

“Kami berbeza dengan kolej lain kerana setiap kursus yang ditawarkan dipilih secara teliti supaya apabila pelajar menamatkan pengajian permintaan tenaga kerja dalam bidang yang dipelajari mereka masih tinggi,” kata Azizulhakim. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas