Berita

Restoran Menara KL, ARAS mula operasi Isnin depan

- Diterbit 24 Januari 2024 3:25 PM MYT

MENARA Kuala Lumpur mengumumkan restoran berputar yang dikenali sebagai ARAS terletak pada ketinggian 282 meter dari aras tanah akan mula beroperasi pada 29 Januari depan.

Menara KL dalam satu kenyataan berkata, bagi memastikan pengalaman menjamu selera yang terbaik, pengunjung digalakkan untuk membuat tempahan lebih awal, memandangkan tempat yang disediakan adalah terhad.

“Harga kemasukan pula bagi Dewasa sebanyak RM199 bagi hari Isnin hingga Khamis manakala RM249 untuk Jumaat hingga Ahad atau cuti umum.

“Bagi kanak-kanak pula RM119 untuk hari Isnin hingga Khamis manakala Jumaat hingga Ahad atau cuti umum pula RM149,” katanya hari ini.

Sementara itu, tambahnya lagi, butiran harga tepi cermin pula bawah empat orang sebanyak RM50 satu meja manakala jika kuantiti dari lima hingga 10 orang pula harga berjumlah RM150 satu meja.

“Kesemua butiran harga yang diberikan ialah harga tetap (Nett Price) dan termasuk kemasukkan percuma ke Pelantar Pemandangan.

“Bagi mendapatkan slot di ARAS, orang ramai boleh membuat tempahan melalui talian 011-2888 2020 atau emel kepada [email protected],” ujarnya.

ARAS menjanjikan pengalaman makan yang unik dengan menu gabungan yang disesuaikan untuk memenuhi citarasa tempatan dan antarabangsa.

Diuruskan oleh MKL Cuisine Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., restoran ini bersedia untuk menjadi destinasi kulinari utama di ibu kota. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas