KERAJAAN wajar melaksanakan reformasi dalam pembaharuan pencen perkhidmatan awam bagi meredakan tekanan fiskal negara serta memastikan ekonomi terus berkembang dan dalam masa sama kualiti perkhidmatan sektor awam perlu dipertingkatkan.
Menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Kerajaan Persekutuan berdepan dengan perbelanjaan pencen yang semakin meningkat setiap tahun dan perbelanjaan mengurus (opex) terus meningkat pada kadar yang tidak mampan disebabkan ia dibayar terus daripada hasil kerajaan sekali gus memberi cabaran besar dalam masa terdekat.
“Berdasarkan rekod kerajaan dianggarkan 32,000 pesara baharu setiap tahun dan kerajaan membelanjakan RM31 bilion untuk pencen lebih 900,000 pesara, termasuk badan berkanun dan Tabung Angkatan Tentera.
“Pada 2010, RM58.2 bilion atau 38.4 peratus daripada jumlah operasi kerajaan sebanyak RM151.6 bilion digunakan untuk gaji dan faedah pekerja sektor awam.
“Jumlah itu meningkat kepada 52.3 peratus atau RM114.9 bilion menjelang 2021, dan dijangka meningkat kepada RM115.2 bilion pada 2022 (40.5 peratus) dan RM119.8 bilion pada 2023 (44 peratus),” kata beliau.
Tegas beliau, sekiranya kerajaan melaksanakan sistem kontrak baharu penjawat awam maka ia perlu merombak keseluruhan pakej imbuhan pada masa ini.
“Kakitangan baharu menyertai kerajaan sebelum ini untuk pakej jangka panjang terutamanya pencen, pinjaman dan faedah perubatan kini perlu mengambil kira pakej yang sama di sektor swasta.
“Pakej itu yang biasanya mempunyai struktur gaji, faedah imbuhan dan potongan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang lebih tinggi.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memberi imbuhan yang adil kepada pasukan polis, angkatan tentera dan komuniti guru yang membentuk kumpulan terbesar dalam senarai pergajian kakitangan kerajaan,” katanya.
Jelas Aimi Zulhazmi, struktur gaji semasa di jawatan kerajaan berkemungkinan lebih rendah daripada sektor swasta terutamanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).
“Justeru itu, ia juga akan menjadi persaingan yang lebih besar bagi kerajaan untuk menarik bakat terbaik daripada pasaran buruh.
“Oleh itu, dengan memadankan gaji sektor swasta, jumlah gaji baru yang dinaikkan untuk kakitangan kerajaan akan memberi impak segera dari segi kos permulaan dengan penjimatan hanya direalisasikan dalam jangka masa panjang,” katanya sambil menambah, pelarasan moral juga perlu merapatkan jurang antara kumpulan baharu dan sedia ada
Tegas beliau, reformasi sistem pencen ini bukan sahaja mengenai gaji yang kompetitif sebaliknya ia turut merangkumi faedah sampingan.
“Kemajuan kerjaya dan pakej persaraan, semuanya mesti dikaji dengan teliti untuk menarik bakat terbaik bekerja untuk negara” ujar beliau. – WILAYAHKU