Berita

Sektor awam bakal lebih daya saing

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 3 Februari 2024 8:10 AM MYT

RANCANGAN kerajaan untuk melaksanakan reformasi bayaran pencen pesara kerajaan bertujuan bagi memastikan pasaran pekerjaan di sektor awam lebih berdaya saing.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata secara idealnya skim pekerjaan yang baharu bakal mengguna pakai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlulah diberi gaji yang kompetitif termasuk faedah lain yang munasabah.

“Sistem pemberian bonus juga perlu bersandarkan budaya berprestasi tinggi atau high performance culture selain mereka juga boleh membuat keputusan untuk berpindah ke sektor swasta sekiranya merasakan gaji yang dibayar adalah lebih kompetitif di sektor tersebut,” kata beliau.

Jelas Mohd Afzanizam, perkara tersebut akan memberi suatu insentif kepada kerajaan untuk merangka skim pekerjaan yang menarik dari sudut tangga gaji, peluang untuk kenaikan pangkat dan pemberian bonus.

Menurut Mohd Afzanizam sekiranya kerajaan melaksanakan dasar baharu itu, ia akan memberi impak positif terhadap ekonomi negara.

“Memandangkan KWSP akan mempunyai kecairan dana yang lebih untuk dilaburkan ke dalam dan luar negeri ia dapat mengimbangi antara aset dan liabiliti sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi untuk negara,” ujar beliau.

Kata Mohd Afzanizam, jumlah perbelanjaan mengurus dan pertumbuhan perbelanjaan terhadap pencen dan gratuiti ini meningkat pada kadar 8.4 peratus setahun iaitu daripada tahun 2012 sehingga tahun 2022.

“Sekiranya kita mengambil angka pertumbuhan ini, perbelanjaan terhadap pencen dan gratuiti boleh mencecah hampir RM60 bilion pada tahun 2030 iaitu hampir dua kali ganda daripada tahun 2022,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia dijangka akan mencapai populasi negara menua pada tahun 2030 apabila rakyat yang berumur 60 dan ke atas dijangka mencecah 15.3 peratus atau hampir lima juta orang.

Justeru itu katanya, berdasarkan kepada situasi tersebut, ia akan memberi tekanan kepada pungutan cukai pendapatan individu kerana ramai tidak membayar disebabkan ramai yang akan bersara disamping perbelanjaan terhadap pencen dan kesihatan dijangka akan meningkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas