Berita

Razlan pertahan jawatan Presiden KLCA, fokus dapat lebih tajaan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 25 Februari 2024 4:00 PM MYT

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berjaya mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka di sini, hari ini.

Mengambil alih daripada Datuk Saniboey Ismail, bekas Prinsipal Pasukan CryptoDATA RNF Racing MotoGP itu akan memegang kedudukan teratas di KLCA selama dua penggal sehingga 2026.

Razlan berjanji untuk memanfaatkan pengalaman luasnya dalam sukan permotoran bagi mendapatkan penajaan korporat sekali gus mencapai matlamatnya mengembalikan persatuan itu kepada kegemilangan seperti pada era 1980-an.

“Jadi perkara pertama yang akan saya tumpukan adalah mendapatkan penajaan untuk menjadikan KLCA stabil dari segi kewangan dan mampan. Itulah cabaran terbesar bagi saya dan saya bersedia untuknya.

“Banyak penaja dan syarikat berpotensi berada di Kuala Lumpur. Saya akan cuba menghubungkan jenama ke KLCA serta meningkatkan kesedaran komuniti berbasikal,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.

Razlan berkata pembangunan bakat muda juga akan menjadi keutamaannya bagi memastikan Kuala Lumpur melahirkan pelumba yang baik menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos ini.

Dalam pada itu, Razlan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemaju, Dupion Development Sdn Bhd, yang juga pemilik tanah Velodrom Kuala Lumpur di Cheras, untuk perancangan masa depan venue ikonik itu.

“Datuk Ng Joo Ngan (jurulatih berbasikal Kuala Lumpur) masih menggunakan velodrom sebagai pusat latihan. Dari segi hala tuju (perbincangan), saya belum pasti… jadi saya akan adakan mesyuarat dengan pihak tersebut dan lihat bagaimana kita boleh perbaikinya dari segi penyelenggaraan dan sebagainya,” katanya.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjual kawasan seluas 4.8 hektar itu kepada pemaju dan kali terakhir pertandingan diadakan di situ adalah pada Mac 2017 sebelum tempat berkenaan ditutup untuk perobohan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek komersial.

Sementara itu, Firdaus Arshad meraih jawatan Timbalan Presiden KLCA tanpa bertanding manakala Ramlan@Ramdzam Mohd Said dan Leong Kit Chuan turut memenangi jawatan naib presiden tanpa bertanding. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas