Berita

Rawatan ibu, anak diteruskan seperti biasa

PARA jururawat berdoa agar dimudahkan urusan dan selamat sebelum memulakan tugasan. Gambar hiasan ihsan foto Facebook KKM
- Diterbit 26 Mac 2020 11:58 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Biarpun berada dalam situasi wabak Covid-19, perkhidmatan kesihatan ibu hamil dan anak di klinik-klinik kerajaan tetap berjalan seperti biasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, anggota kesihatan tetap akan melaksanakan perkhidmatan lawatan ke rumah kepada ibu lepas bersalin untuk memastikan ibu dan anak dalam keadaan sihat.

“Bagi ibu hamil dan ibu bapa yang berada di luar kawasan pula, bolehlah mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan di sana,” ujar beliau.

Dalam masa sama beliau berkata, ibu hamil juga diminta untuk menjalani pemeriksaan mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan selain perkhidmatan imunisasi kepada bayi dan kanak-kanak juga diteruskan seperti biasa.

“Ibu bapa diminta agar mematuhi jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang ditetapkan,” ujar beliau.

Tegas beliau, mematuhi jadual imunisasi kanak-kanak merupakan hal penting bagi mencegah terjadinya kejadian wabak penyakit cegahan vaksin. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas