Berita

MAIWP salur zakat kepada Kolej Matrikulasi Labuan, UMSKAL

- Diterbit 26 Mac 2020 12:16 PM MYT

LABUAN – Prihatin dengan nasib golongan asnaf dan pihak terjejas akibat Covid-19, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan mengambil inisiatif menghulurkan bantuan zakat kepada dua institusi pengajian tinggi di wilayah ini.

Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Saifuddin Md Tahir berkata, bantuan zakat itu disalurkan bagi meringankan beban pihak yang terbabit terutamanya dalam keadaan sekarang aktiviti harian tidak dapat dilakukan.

Menurutnya, MAIWP Labuan menghulurkan bantuan zakat kepada Kolej Matrikulasi Labuan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) masing-masing sebanyak RM 10,000.

“Bantuan ini bertujuan membantu para pelajar di kedua-dua institusi itu dari segi perbelanjaan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) melalui akaun institusi berkenaan pada 25 Mac lalu.

“Malah selaras dengan pergerakan misi Musaadah Covid-19 yang diselaraskan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, asnaf di wilayah ini juga tidak ketinggalan menerima manfaat daripada kutipan zakat melalui Pusat Kutipan Zakat (PPZ) MAIWP,” katanya.

Beliau berkata, MAIWP akan sentiasa meneliti sebarang keperluan semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid- 19 melanda negara.

Dalam pada itu, MAIWP juga menyumbangkan bantuan zakat kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital Labuan sebanyak RM155,500 bagi membeli alat keperluan dan barangan kesihatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas