Berita

Ramai penunggang e-hailing langgar lampu isyarat

PENUNGGANG e-hailing perlu patuhi peraturan lalu lintas walaupun diberi kelonggaran semasa PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 27 April 2020 8:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Ramai penunggang sistem perkhidmatan e-hailing didapati melanggar peraturan lalu lintas sewaktu menghantar barangan atau makanan mereka.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berdasarkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapati golongan tersebut tidak mematuhi undang-undang terutamanya lampu isyarat selain Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pihak polis meminta saya menyampaikan supaya patuhi undang-undang.

“Walaupun tidak salah dari segi PKP kerana mereka boleh keluar namun kesalahan undang-undang lain, mereka boleh diambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan seramai 606 individu ditahan semalam berbanding 557 individu kelmarin.

Jelasnya lagi , daripada jumlah tersebut menyaksikan 556 individu direman, jaminan polis (50) serta 22 didakwa dengan jumlah tangkapan kumulatif seramai 20,617 individu.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya menyelaraskan kepulangan individu atau keluarga yang telah dikuarantin di pusat kuarantin.

Ini berikutan, beliau menambah orang ramai beranggapan NADMA menyediakan kenderaan untuk mereka pulang ke kampung dah sebagainya.

“Sebagai contoh, keluarga mereka boleh membawa ahli mereka daripada pusat kuarantin dengan hanya seorang pemandu sahaja atau sebuah keluarga dibawa menggunakan sebuah kenderaan kerana telah menjalani proses ‘swab test’ di pusat kuarantin.

“NADMA akan mengeluarkan satu surat pelepasan pergerakan disebabkan mereka adalah negatif Covid-19 dan diisytiharkan bersih dan selamat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas