Berita

Biar polis siasat isu audio, video Rohingya

KEMASUKAN pelarian Rohingya di perairan Malaysia ketika PKP membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat negara ini. Gambar hiasan
- Diterbit 27 April 2020 11:06 AM MYT

PUTRAJAYA – Rakyat diminta bertenang dan menyerahkan kepada pihak polis dalam menjalankan siasatan terhadap video, audio berkaitan pelarian etnik Rohingya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, isu berkaitan pelarian Rohingya ini menjadi besar dan menghairankan sejak akhir-akhir ini.

“Saya pun hairan kedatangan (etnik Rohingya) ke negara kita bukan baharu, sudah bertahun. Sebelum ini tidak timbul isu ini kerana kedatangan mereka mendapat simpati kita kerana kita mendengar mereka dibunuh dengan kejam, dibakar hidup-hidup dan sebagainya.

“Namun akhir-akhir ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiba-tiba isu ini menjadi besar dan menghairankan pihak polis kerana banyak berita-berita di media sosial, video dan sebagainya yang menimbulkan kemarahan rakyat kepada mereka (Rohingya).

“Jadi, biarkan polis menyiasat kesemua itu,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi rakyat Malaysia sehingga ancaman bunuh kepada warga Rohingya di laman sosial.

Justeru, Ismail Sabri berharap rakyat negara ini bertenang dan tidak menimbulkan isu-isu yang boleh membangkitkan kemarahan dan akhirnya mencetuskan sesuatu yang tidak diingini.

“Malaysia adalah sebagai sebuah negara aman dan kita terkenal sebagai negara sangat bertimbang rasa kepada sesiapa yang berada di bumi Malaysia,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas