Berita

Rakyat sihat, negara sejahtera

SHAHIDAN melakukan aktiviti pemanas badan pada HSN 2021.
- Diterbit 17 Oktober 2021 11:45 AM MYT

LEBIH murah menjaga sihat dar[1]ipada menjaga sakit. Itu slogan yang dilaungkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim agar sukan menjadi budaya di Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, bagi mencapai hasrat tersebut, pelbagai program khusus untuk mengurangkan berat badan dilaksanakan dalam mencapai matlamat rakyat sihat ekonomi sejahtera.

“Apabila rakyat sihat maka secara tidak langsung negara boleh membangun dengan lebih pesat. Jadi, jika mereka sakit dan sebagainya maka negara juga yang akan menghadapi masalah.

“Kalau boleh, kita juga mahukan rakyat Malaysia tahu betapa aktifnya ketiga-tiga wilayah ini dengan aktiviti sukan sekali gus bertumpu di sini dalam menjayakan budaya sihat,” ujar beliau sejurus merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Wilayah Persekutuan dan Kementerian Wilayah Persekutuan 2021.

Kata Shahidan lagi, di Wilayah Persekutuan, sokongan kepada amalan cara hidup sihat menerusi agensi di bawah kementeriannya sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Antaranya dari segi penyediaan taman-taman awam dan kemudahan sukan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) yang lengkap dan mencukupi di setiap kawasan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, biarpun kini warga kota sudah berpeluang kembali ke gimnasium, bermain bola atau badminton setelah Kuala Lumpur dan Putrajaya memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun perlu patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Sentiasa amalkan gaya hidup sihat dan aktif tetapi jangan sesekali mengabaikan SOP yang ditetapkan supaya dapat menjayakan matlamat sebagai sebuah Negara Sukan (Sporting Nation),” kata beliau.

Terdahulu, HSN peringkat Wilayah Persekutuan disambut serentak dengan peringkat kebangsaan. Sebanyak 100 proggram dan aktiviti sukan dirangka sepanjang sambutan antaranya Let’s Get Fit During Pandemic (Talk), Pertandingan e-Sports FIFA 2021 dan banyak lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas