Selebriti

Rakyat dah tak sanggup hadapi COVID-19, Ezlynn puji Vaksin Bergerak

- Diterbit 27 Jun 2021 4:00 AM MYT

TAHAP penularan COVID-19 di negara kita semakin meruncing dari hari ke hari. Kes yang masih tinggi amatlah membimbangkan rakyat terutamanya kerajaan yang sedaya upaya melakukan yang terbaik.

Selain menjadikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai amalan hidup, satu-satunya harapan kita adalah program vaksinasi yang akan mempercepatkan penurunan kes jangkitan virus ini.

Demi kesihatan warga wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melaksanakan Vaksin Bergerak di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Antara penduduk yang sudah menerima Vaksin Bergerak ini adalah di PPR Kampung Muhibbah, Gombak Setia, Desa Rejang, Seri Johor, Sungai Baru, Kampung Baharu dan banyak lagi.

Selebriti popular Ezlynn, 39, menganggap program Vaksin Bergerak ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam usaha menyelamatkan rakyat daripada dijangkiti COVID-19.

“Tak dinafikan, ada sesetengah masyarakat risau untuk menerima vaksin apabila perlu berkumpul di Pusat Pemberian Vaksin beramai-ramai.

“Bukan itu sahaja, tidak semua mempunyai kemudahan pengangkutan. Ia menjadi lebih sukar apabila melibatkan warga emas, OKU serta penduduk dari kawasan pedalaman.

“Jadi program Vaksin Bergerak ini sebenarnya adalah cara terbaik untuk meleraikan rasa bimbang rakyat dalam sama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” luahnya.

Penyanyi lagu Goyang ini menegaskan pemberian vaksin sangat penting kerana rakyat tidak sanggup lagi berhadapan dugaan ini.

“Rasanya ramai dah tak sanggup nak hadapi semua ini. Ia bukan sahaja berkaitan jangkitan ini, tetapi ramai yang terkesan termasuk saya apabila keadaan ekonomi semakin merudum.

“Saya harap semua orang bertahan dan bersabar. Kena kuatkan mental kerana ramai yang sedang hadapi tekanan perasaan dalam situasi sekarang.

“kepada sesiapa yang nak mulakan bisnes tetapi tiada ilmu dan modal, Aura Kasih Care nak bantu mereka di luar sana. Penyertaan adalah terhad dan mereka akan diberikan tunjuk ajar serta modal,” jelas Ezlynn yang mahu membantu masyarakat yang mahukan bimbingan dalam bisnes.

Sesiapa yang berminat boleh layari instagram @aurakasihhq atau hubungi di talian 019-3333508. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas