RAJA Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah mendahului senarai 10 penerima Darjah Kebesaran Johor bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Johor, baginda berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II) kepada Raja Nazhatul Shima pada istiadat yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini hari ini.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang membawa gelaran Datuk.
Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Pegawai Daerah Johor Bahru Abdul Rahman Salleh, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang Asman Shah Abd Rahman dan Timbalan Mufti Johor Ahmad Faisal Mohamed yang juga membawa gelaran Datuk.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi Hazlina Jalil, Pegawai Daerah Kulai Zainor Adani, Pengarah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru Dr Mohtar Pungut @ Ahmad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din dan Kadi Besar Negeri Johor Halid Sono.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che’ Puan Khaleeda Bustamam. – BERNAMA