Berita

Ras Adiba komited memperkasakan golongan (OKU)

- Diterbit 23 Mac 2021 7:20 AM MYT

Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang dianugerahkan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) hari ini, berazam untuk terus komited memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pelbagai kategori.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah antara 41 individu menerima darjah kebesaran itu yang membawa gelaran Datuk, pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2021, di Istana Negara.

Darjah kebesaran itu dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketika ditemui selepas istiadat itu, Ras Adiba menzahirkan kesyukuran atas penganugerahan tersebut yang turut ditujukan kepada para sahabat OKU.

“Saya bersyukur diberi penghormatan ini dan semestinya ia bukan untuk diri saya sahaja tapi juga untuk sahabat OKU di luar sana.

“Selepas ini saya akan lebih bersemangat memperjuangkan hak-hak kami serta memperkasakan kumpulan ini dalam semua kategori OKU di negara kita,” katanya.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata kesedaran orang awam terhadap golongan OKU perlu dipertingkatkan agar dapat bersama-sama menyokong komuniti berkenaan.

Beliau berkata ia termasuk menyediakan infrastruktur yang baik bagi menyokong keperluan mereka.

“Selain itu, dari segi pendidikan, kita nak memastikan agar tiada golongan OKU yang ketinggalan dan melalui pendidikan akhirnya dapat memberikan pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata intervensi awal kepada anak OKU juga merupakan aspek penting yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan golongan itu dapat dibantu dengan keperluan khidmat doktor pakar. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas