Fokus

Rahsia di sebalik bunga biru

- Diterbit 19 Februari 2024 3:19 PM MYT

BUNGA telang atau nama saintifiknya Clitoria Ternatea merupakan sejenis bunga yang berfungsi sebagai pewarna semula jadi mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan tubuh badan termasuklah makanan dan minuman.

Memandangkan bunga tersebut memiliki potensi yang besar maka ia dikomersialkan sebagai aktiviti penanaman yang boleh menjana pendapatan termasuklah dalam kalangan komuniti di Taman Herba LA21 KL di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai.

Menurut Pengerusi Taman Herba Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) merangkap Jawatankuasa Induk Kebun Kejiranan Bandar, Mohd Fikri Mohd Bakri, projek bunga telang telah dimulakan sejak tahun 2015 dan melalui beberapa kali proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Buat masa ini, di bawah LA21 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kita dapati 70 peratus merangkumi 46 kebun komuniti menanam bunga telang namun data sebenar masih lagi sedang dikumpulkan.

“Secara amnya, bunga telang di Malaysia mendapat sambutan. Disebabkan itu, kita mahu ia dikeluarkan secara sosial atau percuma kepada penduduk di sini supaya mereka juga boleh menanam bunga telang,” katanya.

Ditanya tentang khasiat tanaman ini, Mohd Fikri berkata transformasinya dalam masakan juga mempunyai khasiat yang tinggi biarpun telah diolah.

“Misalnya, kelopak biru cerah di bahagian bunga ini telah digunakan sebagai bahan dalam minuman teh herba di seluruh rantau selama berabad tahun. Ia turut digunakan sebagai pewarna masakan seperti nasi kerabu dan minuman.

“Selain itu, banyak kajian juga telah mendapati, teh bunga telang juga memberi banyak manfaat dari segi ingatan (memori) dan boleh mengurangkan tahap dua jenis gula dalam darah iaitu galactosidase dan ­­ax-glucosidase,” katanya.

Taman Herba LA21 KL Raya Permai merupakan satu-satunya taman herba ikonik terbesar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menghasilkan bunga telang pelbagai jenis pokok herba, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Berkeluasan dua setengah ekar, taman ini beroperasi pada 17 Jun 2012 dan dirasmikan oleh Datuk Seri Ahmad Phesal Talib yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

TAMAN HERBA IKONIK

Menariknya, lebih 100 jenis pokok herba ditanam di taman ini selain bunga telang antaranya mahkota dewa, serai wangi, tongkat ali dan pelbagai lagi.

Menurut ahli jawatankuasa Taman Herba LA21 KL Raya Permai, Mohamad Nasir Abdul Wahid, 59, penanaman bunga telang di kawasan tersebut telah diusahakan sejak tahun 2015.

“Kini terdapat 15 pokok bunga telang yang masih disemai. Ia membiak secara keratan batang atau biji di mana sifatnya adalah menjalar dan sesuai untuk tanaman pagar.

“Untuk menyemai, biji benih perlu direndam dalam air selama tiga hingga empat jam sebelum disemai dalam tanah. Biasanya, benih akan mula bercambah selepas tujuh hingga 14 hari manakala keratan batang boleh disemai dalam pasir yang basah atau lembap.

“Apabila sudah matang, warna biji ini akan berubah menjadi coklat dan paling utama adalah tumbuhan ini perlu sentiasa dipotong rantingnya bagi memastikan ranting baru yang akan tumbuh tidak terbantut,” katanya biji bunga telang dipercayai boleh melebatkan dan mengilatkan rambut.

Tambah Mohd Nasir, taman herba tersebut juga dijadikan sebagai tempat penyelidikan oleh pelajar-pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM), penyelidik antarabangsa serta lain-lain lagi.

“Ketika ini pihak taman herba sedang dalam usaha untuk mengkomersialkan tanaman bunga telang dan lain-lain di pasaran bahkan produk makanan berasaskan bunga telang juga akan dipromosikan.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan DBKL untuk mempromosikan produk bunga telang misalnya melalui Program Teh Hijau Kuala Lumpur di mana pada program seterusnya (17 Februari) kita akan perkenalkan menu baharu iaitu Nasi Lemak Bunga Telang,” katanya yang berharap ia dapat membantu meningkatkan hasil ekonomi Taman Herba pada masa hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas