Selebriti

Dugaan Sufian Suhaimi

- Diterbit 9 Februari 2024 3:34 PM MYT

HIDUP berumahtangga adalah fasa dalam kehidupan yang pastinya ditunggu-tunggu oleh mereka yang bakal melangkah ke gerbang perkahwinan.

Bagi penyanyi Sufian Suhaimi, 31, dugaan ‘darah manis’ tetap ada menjelang hari bahagianya bersama kekasih hati, Rania, yang dijangka berlangsung tahun ini.

Setelah majlis merisik dilangsungkan pada Oktober tahun lalu, Sufian akui dia dan Rania turut berhadapan ujian dalam perhubungan.

“Orang selalu cakap, pasangan yang bertunang akan melalui ujian berat sebelum mereka diijabkabulkan. Saya dan Rania pun diuji memandangkan kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

“Tambah pula masing-masing dari latar belakang keluarga dan persekitaran yang berbeza. Jadi sudah tentu ambil masa untuk wujudkan keserasian itu,” ujarnya melalui fasa tersebut mereka saling lebih mengenali dan memahami antara satu sama lain.

Sufian juga tidak terlepas daripada sorotan netizen yang mendakwa kononnya dia cuba ‘menyorok’ bakal isteri daripada pengetahuan ramai.

“Saya rasa dalam zaman teknologi ini, kalau kita google atau membuat carian di media sosial rasanya ada saja apa yang kita nak cari. Semuanya di hujung jari. Kalau nak kata saya sorok gambar kami berdua atau tak masukkan dalam media sosial, rasanya tidak.

“Sejujurnya saya memang seorang yang tidak terlalu terbuka sejak dahulu lagi untuk berkongsi hal peribadi dalam media sosial. Kalau orang perasan, saya pun tak dedah sangat gambar dengan keluarga,” jelasnya menganggap media sosialnya adalah untuk perkara yang lebih profesional. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas