Selebriti

Rahmad Mega juara Terpaling Juara, bawa pulang RM100,000

Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil sebagai juri jemputan dan mempersembah tiga buah lagu popularnya.
- Diterbit 9 Oktober 2022 11:59 PM MYT

PENYANYI Rahmad Mega muncul juara program Terpaling Juara sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000 pada pentas akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Pada konsert akhir itu, Rahmad membawakan dua lagu, Ku Akui nyanyian asal Hafiz Suip dan duet bersama kapten, Hael Husaini menerusi lagu Di Penjara Janji.

Tempat kedua dimenangi Aqmal yang membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi dan Hazami yang berada di tempat ketiga menerima hadiah bernilai RM30,000 berserta trofi.

Sementara itu, Shaz di tempat keempat membawa pulang wang hadiah berupa wang tunai RM10,000.

PENYANYI nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil sebagai juri jemputan dan mempersembah tiga buah lagu popularnya.

Dalam pada itu, Datuk Hattan dan Fauziah Latiff selaku juri tetap, manakala Datuk Seri Siti Nurhaliza pula sebagai juri jemputan.

Pada pentas akhir itu, penonton juga dihiburkan dengan persembahan daripada Floor 88 dengan lagu medley Chikadun dan Hutang serta Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Wajah Kekasih, Ku Milikmu dan Balqis.

Terpaling Juara dihoskan Haziq Hussni dan Shiha Zikir, bersiaran selama lapan episod di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam.

Program hiburan Terpaling Juara musim pertama ini mempertaruhkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang juga penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu menerusi anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu.

Tugas mereka sepanjang program adalah membimbing penyanyi senior dan penyanyi junior mempertaruhkan lagu popular yang pernah dicalonkan di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas