Berita

Rafiq akui sentuhan sedikit keras

RAFIQ gembira kembali berlatih.
- Diterbit 10 Julai 2020 5:22 AM MYT

JAGUH boling lelaki negara yang juga atlet Wilayah Persekutuan, Rafiq Ismail mengakui dirinya begitu teruja apabila mendapat perkhabaran gembira dibenarkan menjalani latihan bebas seperti biasa.

Walaupun berasa teruja sudah kembali berlatih, pemuda berusia 23 tahun ini juga turut berasa sedikit gerun ketika menjalani ‘swab test’ yang diwajibkan kepada semua atlet negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Mula-mula teruja sebab boleh mula berlatih tetapi apabila kena jalani ‘swab test’ terus rasa takut. Yela selalu tengok sahaja orang buat ujian tu. Apapun Alhamdulillah semuanya sudah selesai,” jelas Rafiq.

Biarpun skuad boling negara mula menjalani latihan bermula 5 Julai lalu namun atlet ini masih bimbang kerana tempoh berehat sebelum ini masih belum mencukupi untuk meningkatkan kecergasan fizikalnya.

“Sekarang sudah nampak sedikit keras tetapi masih lembut untuk kami, Jadi, saya rasa masa yang ada akan digunakan untuk mendapatkan semula sentuhan,” jelas Rafiq.

Rafiq Ismail merupakan Olahragawan Wilayah Persekutuan pada tahun 2017/2018 apabila berjaya menyumbangkan pingat emas acara perseorangan Kejohanan Bowling Dunia Lelaki di Hong Kong pada tahun 2018 dan juga berjaya menyumbang pingat emas di Sukan Asia 2018, Indonesia.

Oleh: Muhamad Nizam

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas