Singgah

Quern-stone lebih 7,000 tahun tarikan di Muzium Labuan

QUERN-STONE digunakan pada zaman purba merupakan artifak yang ditemui di tapak arkeologi di Gua Pulau Burong.
- Diterbit 24 November 2023 2:20 AM MYT

LABUAN merupakan Wilayah Persekutuan kedua Malaysia. Ia merangkumi keseluruhan Pulau Labuan yang mempunyai keluasan 91.64 kilometer (km) persegi yang terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah. Pusat bandar bagi Wilayah Persekutuan Labuan adalah Bandar Victoria.

Pulau ini kaya dengan sejarah silam yang dihimpunkan untuk tatapan umum di Muzium Labuan. Ditubuhkan pada tahun 2004, muzium ini pernah menempatkan Pejabat Pentadbiran Kolonial British sekitar tahun 1950-an. Ia memiliki lebih 707 koleksi yang terdiri daripada artifak sejarah dan etnologi.

AZAM

Menurut Pengarah Muzium Labuan, Mohammad Azam Adnan, ruang pameran di muzium tersebut mempunyai dua aras yang mengkhususkan kepada tema sejarah dan kebudayaan di pulau bebas cukai itu.

“Aras bawah khusus kepada tema sejarah yang memfokuskan lapan segmen utama iaitu pengenalan, era prasejarah, era pentadbiran British, era perang dunia kedua, era pasca perang, segmen Labuan di bawah pentadbiran Sabah, segmen Personaliti Unggul dan segmen perkembangan Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan.

“Manakala bagi aras atas pula menumpukan tema kebudayaan yang mempamerkan aspek sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat tempatan di Labuan melalui enam seksyen yang mewakili kaum Melayu-Brunei, Kedayan, Cina, Kadazandusun, India dan Sikh,” ujarnya kepada Wilayahku.

Antara yang menarik di Muzium Labuan adalah artifak batu atau quern-stone Zaman Neolitik yang ditemui di Pulau Burong, Labuan.

Zaman Neolitik di Malaysia bermula pada kira-kira 7,000 tahun dahulu.

“Artifak batu ini telah ditemui di dalam sebuah Gua Batu Kapur Kecil di Pulau Burong pada tahun 1960. Alat batu ini digunakan untuk menghancur dan mengisar hematit menjadi serbuk berwarna merah.

“Serbuk tersebut digunakan dalam upacara pengebumian dan mewarna tembikar. Masyarakat Zaman Neolitik bukan sahaja menggunakan batu, tetapi telah menggunakan tanah liat untuk membuat tembikar seperti bekas air, periuk dan belanga.

“Selain itu, koleksi persenjataan perang dunia seperti senjata pemusnah kapal selam yang dikenali sebagai depth charge dan anti submarine projectile turut dipamerkan di sini.

“Kedua-dua senjata itu pernah digunakan dengan meluas oleh Tentera Bersekutu untuk memusnahkan kapal selam tentera lawan sekitar Perang Dunia ke-2,” ceritanya sebahagian besar bahan pameran di muzium boleh disentuh oleh pengunjung.

SERAMIK pecahan pinggan purba yang ditemui di Pulau Enou, Labuan.

Tambahnya, bagi koleksi etnologi turut memaparkan alat-alat perekonomian, alatan muzik, senjata dan alat perburuan, pakaian dan peralatan ritual yang digunakan oleh pelbagai kaum di Labuan.

“Di sini juga terdapat meja rasmi yang digunakan semasa menandatangani Perjanjian Labuan sebagai Wilayah Persekutuan Labuan pada 16 April 1984 yang diadakan di Dataran Labuan. Pada majlis tersebut, ia digunakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed dan mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Mohamad Salleh.

“Peristiwa tersebut sangat penting kepada masyarakat Labuan kerana ia membawa perubahan yang amat besar dari segi status dan pentadbiran pulau ini,” ujarnya.

TARIK MINAT PELAJAR

Bagi menarik minat dan memberi pengetahuan mengenai sejarah di Labuan khususnya kepada golongan pelajar, Muzium Labuan turut menganjurkan pelbagai program kebudayaan dan kesenian yang membabitkan pelajar-pelajar sekolah.

MERIAM tembaga yang dikenali ‘bedil’ digunakan oleh masyarakat tempatan secara meluas di Brunei melambangkan simbol darjat, kekuasaan dan kekayaan golongan diraja.

“Kita sentiasa terbuka menerima dan menyambut kunjungan dari sekolah-sekolah di sekitar Labuan dan Sabah. Malah turut mengalu-alukan kunjungan daripada seluruh negara.

“Pelbagai program turut dianjurkan antaranya Pameran Mampan Sejahtera Wilayah Persekutuan Labuan di beberapa sekolah, program eksplorasi sejarah dan geowarisan,’’ ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas