Artikel

Putar alam di Kuala Lumpur

MENJADI orang baik di Kuala Lumpur boleh terdedah menjadi mangsa kaki putar alam. - Gambar hiasan
- Diterbit 22 Jun 2023 4:12 AM MYT

CATATAN KOTA BATU:
Ku Seman Ku Hussain
Ku Seman Ku Hussain

KEWUJUDAN sekelompok manusia yang mencari makan dengan kerja ‘putar alam’ di Kuala Lumpur bukanlah satu yang baru. Ia sudah lama dan terus berlaku pada semua zaman. Malah seolah-olah sudah diterima umum bahawa itu ‘pekerjaan’ untuk hidup di kota yang sangat mencabar itu.

Sebenarnya warga Kuala Lumpur lebih dulu berdepan dengan masalah ‘penipu’ atau istilah popular sekarang ‘scammer’ yang menggunakan kecanggihan teknologi. Scammer zaman dulu menggunakan kaedah konvensional – tipu secara berdepan dengan senyum yang manis.

Dulu lebih dikenali dengan istilah ‘kaki putar alam’ yang definisi secara longgarnya membawa maksud penipu atau ‘scammer’. Pekerjaan itu menuntut tebal muka yang tahap tinggi, berani redah dan keupayaan putar belit yang tinggi. Mereka bergerak secara sendirian dan berada dalam kelompok masyarakat.

Kalau sekarang kita terdedah dengan perangkap ‘scammer’ begitulah halnya sebelum wujudnya teknologi canggih. Kaki putar alam yang berkeliaran itu sukar untuk dibezakan dengan orang yang baik. Bagaimanapun kerana menggunakan skrip yang orang boleh hafal, agak mudahlah kita mengena mereka. ‘Intro’ skrip sudah boleh tahu maksudnya.

Penipuan berskala kecil selalunya dengan cara pinjam duit, bincang projek air liur juta-juta dan yang menjadi pemandu teksi pula ‘sembelih’ penumpang dengan tambang yang berkali ganda mahalnya. Daripada semua itu, yang amatur selalu menggunakan kaedah pinjam duit kononnya dompet sudah dirembat penyeluk saku.

Saya sendiri beberapa kali didatangi individu yang tidak kenali meminta pinjam duit untuk balik kampung. Kononnya dompet kena ragut dan habis semua duit dan kad pengenalannya. Tujuannya supaya kita tidak dapat menjejaknya.

Jumlah yang diminta tidaklah banyak – lebih kurang RM10 atau RM20. Tetapi kalau selalu terkena banyak jugalah jumlahnya. Mula-mula dulu disebabkan rasa simpati dengan skripnya, hulur jugalah sekeping dua walaupun saya sendiri tengah ‘kering-kontang’.

Orang tua-tua selalu berpesan, bantulah orang yang dalam kesusahan. Kelak akan ada orang membantu kita yang ditimpa ujian. Saya melakukan secara ikhlas dengan harapan masalahnya menjadi ringan.

Selang seminggu, individu itu membacakan skrip yang sama kepada saya. Barangkali disebabkan terlalu banyak yang ditipu, dia pun tidak ingat orang telah menjadi mangsanya. Pelanduk selalu lupa akan jeratnya.

Ada kalanya kerana hendak mengorek cerita yang lebih dalam lagi, saya mengajak minum di warung berdekatan. Ternyata daripada perbualan tanpa skrip itu telah mendedahkan tragedi hilang dompet itu hanya lakonan. Tanpa sedar dia sebenarnya menjadi dirinya sendiri.

Malah Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang menjadi ketua nombor satu saya di Utusan Melayu juga mengingatkan tentang perkara yang sama – putar alam. Pada hari pertama berada di Utusan Melayu, Zam berpesan, “You kena berhati-hati, Kuala Lumpur bukan macam Kangar. Di sini banyak conman. Depa ni dok melewaq (berkeliaran) cari mangsa.”

Pada awal- awal Central Market dibuka dulu, dua restoran mamak di pusat seni kraf itu menjadi tempat ‘kaki putar alam’ menjual minyak dengan gaya ahli perniagaan bersidai mencari mangsa. Penampilan kemas, kot dan tali leher tidak kira masa, sentiasa kilik briefcase yang sekalipun tidak pernah nampak dibuka.

Kalau didekati, kita akan dengar dialog-dialog sembangnya seperti drama pukul tujuh di televisyen sekarang ini. Sembang rancak buat business juta-juta, proposal itu dan proposal ini. Tetapi akhirnya mi goreng mamak dan teh tarik pun kawan yang bayar.

Orang seperti itu hanya boleh setakat menjadikan rakan sembang sambil meneguk teh tarik. Hanya setakat itu. Kalau hendak minta modal untuk beli saham itu dan ini, buat projek sana dan sini, minta maaf sajalah. Sebenarnya tidak menjadi kaki putar alam pun kita boleh kenal orang yang jenis itu.

Begitu juga dengan sindiket peminta sedekah terutama oleh wanita asing yang mendokong bayi yang bercambah di Kuala Lumpur. Susah hendak dibezakan antara yang benar-benar peminta sedekah dan sindiket. Bukanlah besar sangat pun jumlah yang diminta, tetapi kalau banyak kali terbit juga rasa marah juga kerana ditipu.

Kalau yang membawa bayi yang masih merah, selalunya saya mengajak makan. Bagaimanapun mereka menolak dengan sungguh-sungguh dan tidak mahu dibelanja makan. Maka dapatlah dijangka yang mereka itu sedang bekerja dan mungkin menjadi syarat tidak boleh makan dengan ‘penyumbang.’

Walaupun di Kuala Lumpur banyak penipu, tetapi kita mesti terus menjadi orang baik. Malah mesti terus mempertajamkan rasa kemanusiaan apabila berdepan manusia lain terutama yang memerlukan bantuan. Adalah suatu yang tidak adil untuk pukul rata bahawa semua yang datang meminta bantuan adalah kaki putar alam.

Ada juga yang berkata, menjadi orang baik di Kuala Lumpur boleh terdedah menjadi mangsa kaki putar alam. Tanggapan itu memang ada benarnya, akan tetapi tidak boleh dijadikan pegangan. Malah tidak boleh dengan sengaja menjadi orang yang tidak baik hanya kerana mengelak dimangsai.

Lagipun itu bukan penyelesaian dalam berdepan dengan kemunculan banyak penipu yang menjadikan ia sebagai satu bentuk pekerjaan. Malah tidak seharusnya menjadi hilang kemanusiaan yang satu-satunya anugerah tertinggi kepada manusia.

Sebaliknya mesti terus berusaha menjadi orang yang sebaik-baiknya. Pada masa yang sama tingkatkan kewaspadaan serta bijak membaca gerak manusia yang berkemungkinan memangsakan kita. Tujuannya supaya tidak menjadi mangsa, masa yang sama tidak menjatuhkan kedudukan sebagai orang yang baik daripada sudut perilaku dan susilanya.

Dulu, ketika masih menunggang motor kapcai dan selalu pula membawa dua topi keledar, saya membuat peraturan tidak menumpangkan orang yang tidak dikenali.

Saya berwaspada kemungkinan individu itu orang yang bermasalah – membawa barang yang salah di sisi undang-undang. Atau kemungkinan merompak saya apabila sampai ke suatu tempat yang sunyi. Bagaimanapun saya tetap menolong dengan memberikan duit sebagai tambang teksi.

Begitu juga ketika sudah mempunyai kereta. Saya berikhtiar menolong dengan cara lain kepada yang datang dan menyatakan mereka berada dalam kesusahan – mahu menumpang kereta. Tentu tidak adil untuk menganggap semua yang datang meminta bantuan itu penipu. Maknanya kita boleh terus berbuat baik dengan cara-cara tertentu supaya tidak terjerat sekiranya diperdaya.

Tanggapan bahawa orang baik sahaja yang menjadi mangsa samalah dengan mendorong orang supaya menjadi tidak baik. Hal itu bertentangan dengan keberadaan kita sebagai manusia untuk terus mempromosi kebaikan – kepada sesama manusia. Hanya dengan berbuat baik sahaja yang memungkinkan hasilnya baik.

Maka dalam keadaan Kuala Lumpur yang tebal dengan stigma ‘banyak kaki putar alam’ tanggungjawab kita membuat kebaikan kita mesti diteruskan. Jangan sama sekali terganggu dengan tanggapan yang berbuat baik menjadi mangsa.

Menjadi manusia baik bukan satu pilihan akan tetapi kemestian. Mesti. Tidak ada hujah yang mewajarkan kita untuk berbuat tidak baik atas apa alasan sekalipun. Maka dengan terus berbuat baik kita setidak-tidaknya menyumbang menjadikan Kuala Lumpur kota peradaban.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas