Berita

Projek naiktaraf loji Kinabenua siap hujung tahun ini

datuk bashir bersama pengarah jabatan air Labuan meninjau
- Diterbit 10 Julai 2020 9:11 AM MYT

PROJEK naiktaraf Sistem Takungan Air Mentah Loji Rawatan Air (LRA) Kinabenua Kampung Sungai Bedaun bakal siap sepenuhnya hujung tahun ini.

Pengarah Jabatan Air (JBA) Labuan Muhammad Zulkeflee Yusof berkata, projek naiktaraf takungan Loji Rawatan Air (LRA) di Kinabenua telah bermula pada hujung Oktober tahun lalu dan ia merupakan projek di bawah RMK 11 dan projek ini bakal siap pada hujung tahun ini.

“Projek ini bernilai sejumlah RM8 juta melibatkan kerja-kerja naiktaraf dari segi membesarkan dan menambah kedalaman takungan yang sedia ada bagi menambah kapasiti air sebagai sumber air di Labuan.

“Setelah projek naik taraf loji ini, ia mampu membekalkan sebanyak 3juta liter air sehari (3mld) bekalan air kepada sekitar Labuan sekiranya Loji Rawatan Air Lawa di Gadong Beaufort mengalami masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias meninjau kerja-kerja naiktaraf loji barubaru ini.

Sementera itu, Datuk Bashir mengharapkan agar projek naiktaraf loji berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual agar memberikan manfaat kepada seluruh penduduk di Labuan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan peruntukkan bagi menaiktaraf loji bagi menampung bekalan air kepada penduduk Labuan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas