Berita

Program Santai Badminton Anak Muda Seputeh, riuhkan Hari Sukan Negara

PROGRAM Kejohanan Badminton Anak Muda Seputeh berlangsung meriah sempena Hari Sukan Negara, baru-baru ini.
- Diterbit 23 Oktober 2021 6:00 AM MYT

BERLANGSUNG di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur, satu kejohanan Badminton Anak Muda Seputeh bukan sahaja meriah malah menarik minat kalangan anak muda setempat beriadah secara sihat dan terkawal.

Inisiatif Kelab Anak Muda Seputeh (Kamuse) itu adalah sebahagian usaha diambil memeriahkan sambutan hari sukan di samping mengumpulkan anak muda di bawah program santai dan positif.

Pengerusi Kamuse, Nur Hafies Wahid berkata, penganjuran program berbentuk sukan pertama kali diadakan, mendapat sambutan baik apabila seramai 50 orang anak muda di dalam Kawasan Seputeh dapat dikumpul bawah satu bumbung.

Katanya, pelaksanaan program berjalan lancar dengan pematuhan SOP ketat hasil usaha sama aktif Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBSWPKL) Asmori Sa’ahari dan Pejabat Belia & Sukan Kawasan Seputeh yang diwakili oleh Anazem Ibrahim.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada para penyumbang persendirian yang telah membantu kelancaran program diadakan. Tidak dilupakan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Cawangan Lembah Pantai yang menyumbang sebanyak 50 pek makanan dan minuman.

“Kami tidak ramai tetapi kami komited di dalam membantu anak-anak muda kawasan Seputeh ini untuk bersama berekreasi dan berganding bahu menceriakan lagi sambutan Hari Sukan Negara tahun ini. Syukur, kerja yang berat akan menjadi ringan jika sepakat, setia dan amanah,” ujarnya.

Menurut Nurhafies, Kamuse sentiasa positif dan komited melaksanakan program berteraskan komuniti selagi ada pihak yang menyumbang bagi menjayakan program untuk golongan sasar rakyat yang sememangnya menantikan aktiviti yang bermanfaat dalam masyarakat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas