PENDIDIKAN sama ada secara formal atau tidak formal adalah salah satu teras utama dalam pembinaan sebuah masyarakat MADANI yang adil dan saksama.
Justeru itu, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited dalam melaksanakan program pendidikan dan juga kebajikan untuk seluruh warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memerlukan.
Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin berkata dalam memastikan objektif tersebut dicapai, pihak DBKL bekerjasama dengan YWP bagi menganjurkan program motivasi diri sebagai usaha membentuk jati diri serta memupuk nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar.
“Program seumpama ini dilaksanakan untuk warga Kuala Lumpur, bagi membentuk generasi pelapis yang bijak, berdaya tahan serta mempunyai nilai-nilai kepimpinan, walaupun sejak dari kecil.
“Seramai 80 pelajar terpilih dari sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur yang menyertai program ini selama tiga hari dua malam pada 13 hingga 15 Disember lalu bertempat di Dusun Akin Resort, Hulu Langat.
“Pelbagai aktiviti diadakan seperti beriadah, pengisian kerohanian, sesi tazkirah, latihan disiplin, night walk, latihan kepimpinan dan banyak lagi bagi membina jati diri dalam jiwa setiap peserta,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program Motivasi Siri 3 Yayasan Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Ismadi berkata, DBKL sentiasa menyokong program yang dijalankan YWP sama ada dari segi kewangan, bantuan atau lain-lain dalam sama-sama membantu anak-anak yang juga merupakan pelapis pemimpin masa akan datang untuk cemerlang dalam pendidikan khususnya.
“Perlu diingatkan bahawa cabaran di Kuala Lumpur adalah berbeza berbanding yang tinggal di kampung dan cabaran untuk generasi kini juga sangat berbeza berbanding dahulu, justeru itu, saya mengharapkan para peserta terutamanya dapat bersedia dari segi pengetahuan dan kepimpinan untuk menjadi pemimpin yang baik pada masa akan datang.
“Di peringkat YWP juga perlu memberi penekanan terhadap aspek pendidikan supaya semua pihak khususnya anak-anak warga kota mendapat pendidikan sama taraf dan tiada golongan yang tercicir.
“Semoga dengan adanya program motivasi ini dapat membuat para peserta sentiasa bersemangat untuk membantu diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan masyarakat pada masa akan datang. Saya juga faham mungkin ada yang lemah pendidikan tetapi kita di Kuala Lumpur ini masih banyak ruang dan peluang untuk membangunkan potensi diri.
“Mungkin ada yang kelebihannya adalah kemahiran jadi cari jalan untuk ke arah itu kerana banyak inisiatif telah diberikan oleh pihak kerajaan. Jangan mudah berputus asa,” ujarnya.
Tambahnya, YWP mempunyai 16 jenis skim bantuan untuk warga Wilayah Persekutuan yang susah dan memerlukan bantuan merangkumi hal ehwal pendidikan, kebajikan, bencana, sosioekonomi dan usaha meningkatkan penguasaan teknologi.
“Skim-skim bantuan ini juga disokong oleh DBKL, agensi-agensi kerajaan dan pelbagai syarikat korporat. Maka itu, YWP akan teruskan usaha menyantuni rakyat yang memerlukan,” katanya.
Hadir sama Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Muhammad Khairil Khalid; Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik & IT YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir; Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah; Pengarah Urusan Akademi Profesional Azzahra, Mior Azman Mohamed Ramli dan Pengarah Urusan Kem Dusun Akin Resort, Datuk Mustafa Mohamad. – WILAYAHKU
[Iklan]