SEJAK penubuhannya pada tahun 1986, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) terus komited dalam usaha-usaha pembangunan pendidikan pelajar-pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed berkata pelbagai program dan bantuan telah disediakan bagi memastikan tiada murid tercicir, terus bermotivasi dan mempunyai akes yang mudah untuk ke sekolah.
“Baru-baru ini YWP telah menyantuni serta menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 20 orang pelajar terpilih menerusi Program Jejak Kasih Madani Daerah Bangsar 2024.
“Ia merupakan program kedua selepas pertama kali diadakan di daerah Pudu dan kita juga mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) bagi merealisasikan program ini.
“Sumbangan wang tunai tersebut diberikan kepada pelajar-pelajar yang berisiko tercicir dan telah dikenal pasti oleh JPWPKL juga YWP. Diharapkan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar terus bersemangat dan bermotivasi untuk hadir ke sekolah,” katanya dalam ucapan ketika menghadiri Program Jejak Kasih Madani Daerah Bangsar bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar baru-baru ini.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar/Pudu, Azuar Hussin; Pengetua SMK Bangsar, Salina Shaari dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, PPD Bangsar/Pudu, Mohamed Suraimi MohamedSalleh.
Mengulas lanjut Abdul Basir berkata YWP sentiasa berbesar hati untuk membantu dari pelbagai sudut dalam memastikan pendidikan anak-anak Wilayah Persekutuan terjamin.
“Kita menyantuni semua peringkat pelajar dari tahun satu hingga ke peringkat universiti bermula dengan Bantuan Awal Persekolahan (Back to School), Bantuan Murid Tercicir, Dermasiswa Pelajar Sekolah Menengah, Bantuan Pemakanan Sekolah Menengah disusuli hinggalah Bantuan Awal ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Dermasiswa IPT.
“Selain itu, pada awal tahun ini juga YWP terlibat dalam sumbangan Back to School kepada pelajar-pelajar sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang meliputi sumbangan berbentuk bayaran yuran PIBG, baju sukan atau baju kokurikulum.
“Begitu juga dengan bantuan pemakanan, YWP membantu pelajar-pelajar terpilih untuk menerima makanan percuma setiap hari yang disediakan oleh pihak kantin sekolah.
“Untuk makluman, YWP merupakan agensi pertama yang membawa idea bantuan pemakanan sekolah menengah ini dilaksanakan untuk pelajar-pelajar yang layak dengan memastikan pelajar dapat makan makanan yang sihat dan seimbang agar lebih fokus dalam pembelajaran di sekolah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Basir berkata YWP akan terus menyokong usaha murni pihak warga pendidik dan Jabatan Pendidikan dalam memartabatkan pelajar-pelajar ke peringkat yang lebih baik.
“Kepada guru-guru serta seluruh warga pendidik, teruskanlah usaha memberi sokongan kepada anak-anak ini agar mereka mendapat keputusan yang cemerlang, dalam peperiksaan dan berjaya menjadi insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Semoga usaha ini diberkati dan mendapat manfaat kepada semua,” katanya. – WILAYAHKU