Berita

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan baik – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) bersama Pengarah Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Syed Zulkifli Syed Zakaria meninjau keadaan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit COVID-19 ketika melawat hospital berkenaan hari ini. Ia merupakan hospital pengajar kedua UKM yang memulakan operasinya sebagai hospital COVID-19 hasil kerjasama antara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), universiti dan swasta. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 11 Jun 2021 4:12 AM MYT

JUMLAH pemberian vaksin harian yang tinggi membuktikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dimulakan pada 24 Feb lepas berjalan dengan baik, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Alhamdulillah vaksinasi sudah meningkat… semalam lebih 156,000 orang (terima suntikan vaksin) dan ia akan meningkat sampai 200,000 ke 250,000 pada Julai dan seterusnya 300,00 hingga 400,000 sehari.

“Ini membuktikan program imunisasi berjalan dengan baik dan yang penting kita nak lebih ramai mendaftar dengan MySejahtera ini (untuk mendapatkan suntikan vaksin). Tidak perlu bimbang dan takut kerana terbukti, dengan vaksin kita ada perlindungan atau antibodi bagi menjauhkan kita daripada wabak COVID-19,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia dan meninjau pusat pemberian vaksin secara pandu lalu Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini hari ini

Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.  — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas