Berita

Program Hari Rakyat: Peluang diskusi isu semasa bersama menteri, pegawai

SHAHIDAN menyerahkan replika cek kepada pemenang utama mereka bentuk maskot sambil disaksikan Jalaluddin (kanan).
- Diterbit 1 November 2021 3:30 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) akan melaksanakan Program Hari Rakyat secara atas talian bagi memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, program tersebut akan mengambil kira aduan, rungutan mahupun keluhan rakyat selain menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Sebelum ini kita ada Program Hari Rakyat dari maya yang kita buat di Arau, Perlis dan juga di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Rakyat boleh berinteraksi dengan kita dalam tempoh satu jam 30 minit supaya kita dapat mendengar apa sahaja keluhan rakyat. Kita ambil pendekatan Keluarga Malaysia yang mana setiap keluhan dibicarakan dengan baik tanpa menuduh mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media selepas
Program Pra Pelancaran Sambutan Jubli Emas Kuala Lumpur pada Ahad.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelas Shahidan, program tersebut akan dilaksanakan segera dan ia diadakan setiap minggu.

“Kita akan beri tajuk mengenai masalah semasa, contohnya hari ini tentang masalah jalan berlubang.
Orang bagi rungutan, kita turun padang serta merta.

“Ada orang mahu berniaga, ada yang memohon rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lain-lain isu. Jadi, kita akan dengar dan selesaikannya,” jelas beliau.

Walaubagaimanapun ujarnya, sesi interaksi ini pasti akan disertai seluruh rakyat kerana ia dilakukan
secara atas talian.

“Yang saya pasti kalau kita pergi ke dunia maya sudah pasti seluruh Malaysia akan tanya soalan. Tiada
masalah, kita merupakan satu pemimpin dalam Keluarga Malaysia.

“Kita meletakkan matlamat untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas