Berita

Program derma darah mega akan dilaksana tahun depan

- Diterbit 19 Disember 2020 4:25 AM MYT

BAGI mendidik dan menggalakkan masyarakat menderma darah, Jabatan Amal Malaysia dan Pusat Darah Negara (PDN) akan menganjurkan ‘Amal Mega Blood Donation 2021’ (AMBD2021) di seluruh negara pada Januari tahun hadapan.

Setiausaha Program AMBD2021, Khairul Anuar Ismail berkata, program tersebut akan dilaksanakan dalam skala besar.

“Kita masih memperincikan lokasi yang sesuai bersama PDN dan diharapkan perjalanan serta perancangan seterusnya dapat dilaksanakan dengan lebih baik melalui usaha promosi bersama selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Unit Promosi dan Tajaan AMBD2021, Shehdi Hazrik Shamsudin memaklumkan, pelaksanaan kempen dan promosi program mendapat kerjasama yang baik dari Pusat Darah Negara.

“Fokus kami adalah bagi menyampaikan maklumat dan pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah.

“Jika tiada sebarang halangan, program di Wilayah Persekutuan akan dilaksanakan pada 16 hingga 17 Januari 2021 bertempat di Prisint 11 Putrajaya dan Pusat darah Negara, Kuala Lumpur.

“Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut di laman sesawang Pusat Darah Negara atau di Facebook Jabatan ‘Amal Malaysia – Original’,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas