Berita

“Tak perlu cari K-Pop, kita ada nasyid” – Saifuddin

Datuk Saifuddin Abdullah melancarkan Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 secara virtual
- Diterbit 18 Disember 2020 11:07 PM MYT

“TAK perlu cari K-Pop, kita ada nasyid”, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah ketika melancarkan Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM) secara virtual, Rabu lalu.

Menurut Saifuddin, menerusi bantuan dan sokongan kerajaan serta sektor swasta, industri nasyid mampu bangkit semula dan mencetuskan fenomena seperti K-pop, malah tidak mustahil menembusi pencalonan Anugerah Grammy.

“K-Pop itu sebagai benchmark. Kalau tak ada K-Pop pun, kita kena naikkan irama nasyid ke peringkat antarabangsa. 

“Ini adalah suatu permulaan melalui kerjasama antara KKMM dan JPM untuk mengangkat industri nasyid ke peringkat antarabangsa. 

“Tahun hadapan, kami sudah berbincang dengan MUNSYID bagi menganjurkan Anugerah Nasyid Antarabangsa pula.

“Melalui sokongan kerajaan, usaha melonjakkan kembali industri nasyid seperti kegemilangan yang pernah diraih pada era 1990-an tidak mustahil dicapai.

“Bagi kami, bidang nasyid juga mustahak dan menjadi komponen yang amat penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara tidak sekadar muzik semata-mata,” tambahnya lagi yang menyokong penuh ANAM 2020.

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah (Kiri) melancarkan Anugerah Nasyid Malaysia (ANAM) 2020 secara virtual, Rabu lalu.

Acara anugerah nasyid berprestij ini menerima 585 penyertaan bagi sembilan kategori yang dipertandingkan iaitu Lagu Nasyid Terbaik, Lirik Nasyid Terbaik, Vokal Muzik Terbaik, Rakaman Lagu Nasyid, Video Muzik Nasyid Terbaik,, Artis Nasyid Pilihan dan banyak lagi.

Kategori Artis Nasyid Nusantara Pilihan juga diperkenalkan bagi membuka jalan kepada industri nasyid untuk ke peringkat antarabangsa. 

Antara artis yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Jamal Abdillah, Hijjaz, Raihan, Rabbani,Khai Bahar, Naim Daniel, Brothers, Inteam dan Colour of Voices. 

Malam kemuncak ANAM 2020 akan dihoskan Fara Fauzana bersama penyanyi nasyid popular, Hafiz Hamidun, manakala Farihin Abd Fatah pula bertindak selaku ketua juri.

HAFIZ Hamidun sebagai hos pada malam ANAM 2020

ANAM 2020 bakal berlangsung pada 27 Disember ini dan disiarkan secara langsung di TV1 (RTM sebagai penyiar rasmi) pada pukul 9 malam. 

Selain Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) dan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) juga menjadi tulang belakang dalam penganjuran ANAM 2020.

Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Taqwa- MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat- MAIWP Pula adalah rakan strategik ANAM 2020. 

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.anam.my atau instagram @anam.my dan Facebook: Anugerah Nasyid Malaysia. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas