Artikel

PREPKOM antara langkah cegah gejala sosial

FARHAN (kiri) dalam satu mesyuarat khas PREPKOM yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun (tengah).
- Diterbit 21 Ogos 2022 8:00 AM MYT

YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) bukan sahaja menitikberatkan pembangunan fizikal semata-mata, malah turut memberi fokus dalam menangani gejala sosial dalam masyarakat.

Antaranya adalah dengan mewujudkan Pusat Pemerkasaan Pendidikan & Komuniti (PREPKOM) YWP yang terletak di 10 lokasi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur.

Eksekutif Kanan PREPKOM, Mohd Farhan Azhari berkata kemudahan pusat ini wajar dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Sebenarnya banyak manfaat PREPKOM ini kepada masyarakat setempat. Antaranya kami memberi peluang kepada mereka menggunakan pusat ini untuk pelbagai aktiviti.

“Misalnya mereka boleh menganjurkan kelas tuisyen, mengaji, mesyuarat serta pelbagai aktiviti berkumpulan lain di sini.

“Malah kami juga membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) di luar sana untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk penduduk,” katanya yang merupakan antara kakitangan yang ditugaskan menyelia PREPKOM.

Berkongsi dengan Wilayahku, dia mengakui dalam apa jua tugasan yang dilaksanakan, pasti berhadapan dengan kesulitan.

“Semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19, masyarakat kerap menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada di PREPKOM.

“Namun apabila keadaan kembali normal, tidak ramai yang memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh YWP ini.

“Jadi, agak rugi apabila kemudahan yang diberikan tidak digunakan sepenuhnya. Sedangkan banyak manfaat yang boleh dilakukan demi pembangunan sahsiah diri masyarakat.

“Ini kerana, PREPKOM sebenarnya berfungsi dalam membantu kerajaan mengurangkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja.

“Misalnya sekarang banyak hobi atau kegiatan baharu yang menjadi kegilaan anak-anak remaja, kami tidak pernah menghalang malah mereka boleh bekerjasama dengan PREPKOM,” ujarnya lagi. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas