Artikel

Menjadi ‘ikan hidup’ di kota

DENGAN meminjam sifat ikan hidup, kita tidak akan tewas dalam arus persekitaran yang tidak sesuai dengan pemikiran, jiwa dan akal peribadi.
- Diterbit 19 Ogos 2022 3:24 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

SAYA dilahir dan dibesarkan hingga melepasi usia remaja dalam persekitaran kampung yang masih tebal dengan nilai-nilai tradisi. Persekitaran sosiobudaya sedemikian telah membentuk jalur peribadi hingga merantau ke Kuala Lumpur sejak hampir empat dekad lalu.

Pada awalnya berlaku juga kejutan budaya apabila melihat ragam manusia yang sangat kontradik dengan nilai kehidupan yang ada di kampung. Mungkin seperti rusa yang tersesat dan masuk ke kampung. Keterasingan begitu menjadi-jadi dan saya berusaha menyerap dalam keadaan di sekeliling.

Saya bagaikan terlontar pada suatu daerah yang sangat asing dan baharu. Suatu yang bertentangan sama sekali dengan persekitaran sosial di kampung. Bukan sahaja deru manusia dan kereta yang tidak pernah lena, malah sikap-sikap sebahagiannya dirasakan amat asing.

Walaupun begitu selepas hampir empat dekad, ternyata lorong hidup terletak pada tangan kita sendiri. Kita yang menentukan arah haluannya. Kuala Lumpur memberikan banyak pilihan, walaupun begitu yang tidak kukuh menjadi diri sendiri mudah sahaja dibawa arus persekitaran.

Maka kita perlu menguasai persekitaran untuk mengelak terjebak dalam pergulatan sosiobudaya kota yang penuh eksploitasi dan manipulasi. Malah harus percaya bahawa bukan semua yang moden itu tanda kemajuan. Banyak juga kemodenan itu membawa pada kekolotan berfikir.

Masa yang sama tidak semua nilai kampung yang membumi dalam diri itu satu yang mundur dan kolot. Terbukti banyak nilai kampung jauh lebih moden berbanding di bandar. Stigma bahawa kampung penuh dengan kekolotan dan kemunduran hanya pandangan cetek elitis yang menjadi ‘ikan mati’ di Kuala Lumpur.

Ketika mula-mula merantau dulu, saya sama seperti banyak perantau lain yang mahu menyerap sebanyak mungkin nilai-nilai kota supaya tidak janggal di mata orang. Seboleh-bolehnya mahu memadamkan terus nilai-nilai kampung yang begitu kukuh membina peribadi.

Kononnya menjadi orang kota mesti kelihatan moden dan terkini dalam memilih gaya hidup. Kalau tidak berbuat demikian orang di sekeliling akan menganggap kita ketinggalan zaman dan kekampungan. ‘Kekampungan’ menjadi satu istilah yang mahu dipadamkan.

Semasa di kampung di Perlis dulu, saya boleh kenal dengan mudah pekerja-pekerja sawah yang datang dari Wilayah Selatan Thailand seperti Pattani dan Sadao.

Ini terpancar pada gaya dan pertuturan yang berbeza dengan orang Perlis. Walaupun ada yang bergaya, tetapi masih kenal bahawa mereka itu datang dari Selatan Thailand.

Lalu ketika berada di Kuala Lumpur yang metropolitan, gegak-gempita dengan kemajuan dan kemodenan, saya tidak mahu kelihatan seperti pekerja sawah dari Selatan Thailand.

Maka berusahalah untuk tidak menjadi diri sendiri dan meninggalkan nilai-nilai kampung yang menjadi tunggak peribadi.

Tentu sahaja di luar pengetahuan saya, orang melihat saya dengan penuh kejanggalan. Pembawaan imej kampung tidak boleh dikikis dalam sekelip mata. Malah kejutan budaya di Kuala Lumpur juga secara tanpa sedar menjadikan saya orang yang asing.

Sebenarnya semua usaha untuk tidak menjadi diri sendiri dengan nilai-nilai kampung gagal sama sekali. Kini saya sudah lama selesa kembali menjadi diri sendiri dan tebal dengan nilai-nilai kampung. Menjadi orang kampung di tengah kota.

Secara perlahan-lahan saya mengikis nilai-nilai kota yang bertentangan dengan diri dan pemikiran. Sebahagian besar nilai kota ada terselit sikap individualistik dan kebendaan yang melampau.

Nilai ini sangat bertentangan dengan amalan kebersamaan yang menjadi pegangan di kampung.

Kampung adalah sebuah keluarga yang besar. Sekiranya tercubit salah seorang anggota keluarga kampung itu, semua yang lain turut berasa sakitnya.

Hal ini sangat berbeza apabila di kota raya, masing-masing dengan urusan sendiri di sebalik tembok, pagar dan jeriji tinggi yang memisahkan antara satu dengan yang lain.

Saya telah lama kembali menjadi orang kampung. Tidak terkilan apa-apa sekiranya dilihat mundur dan kolot. Tanggapan sedemikian hanya datang daripada mereka yang sebenarnya ketinggalan dalam berfikir. Kemajuan dan kemodenan yang sebenar bukan kulit, tetapi pada isi.

Sebenarnya banyak juga yang terus menjadi orang kampung di tengah-tengah Kuala Lumpur. Nilai-nilai yang membuni waktu di kampung jauh lebih berupaya membentuk manusia berkualiti. Kemajuan dan kemodenan yang sebenar tidak ada kaitan dengan nilai kampung atau bandar.

Ada juga orang Kuala Lumpur yang kolot walaupun bersungguh-sungguh menjadikan diri sebati dengan nilai-nilai yang urban.

Ada yang mahu kelihatan dan menjadi mat saleh yang difahami sebagai lambang kemajuan dan kemodenan. Itu satu contoh kekolotan yang berlaku, tetapi tidak banyak yang menyedari.

Sebenarnya Kuala Lumpur menyediakan banyak lorong rezeki kepada perantau yang datang dari segenap penjuru tanah air. Hal yang demikian menjadi tarikan kepada perantau untuk membina kerjaya dan mengubah kehidupan. Misalnya menjual air di tepi jalan pun memberikan pulangan yang lumayan.

Pada masa yang sama perubahan pesat yang berlaku di Kuala Lumpur menjadikan urbanisasi sebagai satu nilai hidup yang baharu. Nilai tradisi yang mendokong kampung-kampung Melayu di sekeliling Kuala Lumpur ikut mencair dan larut dalam urbanisasi yang berkembang pantas.

Maka jadilah Kuala Lumpur sebagai medan perlumbaan antara hidup dan mati. Antara suka dan duka. Tidak ketinggalan miskin dan kaya.

Masing-masing menjadi enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Lalu perlumbaan ini menuntut ketahanan supaya yang jatuh boleh bangun dan meneruskan perjalanan.

Satu pepatah Cina ada menyebut, jadilah ikan hidup yang sentiasa menongkah arus. Menongkah arus ini satu kerja yang susah dan penuh cabaran. Tetapi ikan yang melawan arus mendapat kawasan yang lebih baik untuk bertelur.

Ikan hidup berlawanan dengan ikan mati. Kalau ikan hidup menongkah arus, ikan mati hanya dibawa arus hingga ke lautan.

Maka pilihlah sama ada mahu menjadi ikan hidup atau ikan mati. Di Kuala Lumpur banyak juga ikan mati yang akhir hanyut ‘ke laut.’ Hilang tanpa bekas dan jejak.

Dengan meminjam sifat ikan hidup, kita tidak akan tewas dalam arus persekitaran yang tidak sesuai dengan pemikiran, jiwa dan akal peribadi. Apabila berada dalam keadaan ini, bersedialah untuk menongkah arus yang melingkari untuk mencari arus yang serasi.

Oleh yang demikian, kalau yakin dengan nilai-nilai kampung, terus sahaja dijadikan pegangan di tengah kota metropolitan. Hanya ikan hidup yang faham akan keperluan hidupnya. Ikan mati akan menafikan haknya dalam perlumbaan untuk menyatakan pendirian dan pegangan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas