Berita

PPZ-MAIWP sasar RM800 juta kutipan zakat tahun ini

ABDUL HAKIM (tengah) bersama Mohammad (kanan) dan Radzaleih (kiri) memegang replika simbolik perasmian Kempen Year End Zakat ( YEZ ) di sini, baru-baru ini. ABDUL HAKIM (tengah) bersama Mohammad (kanan) dan Radzaleih (kiri) memegang
- Diterbit 28 November 2021 7:00 AM MYT

PUSAT Pungutan Zakat-Majlis Agama Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan hasil kutipan zakat tahun ini sejumlah RM800 juta membabitkan sebanyak 480,000 pembayar zakat di tiga-tiga wilayah persekutuan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman berkata, sejak Januari sehingga Oktober ini, pihaknya telah berjaya mengutip sejumlah RM 577 juta dengan 348,285 pembayar zakat.

“Kita hanya memerlukan sejumlah RM 223 juta lagi untuk mencapai sasaran pada tahun ini.

“Berdasarkan sambutan kempen Year End Zakat (YEZ) yang telah dilancarkan pada 15 November lalu memberangsangkan, kita percaya sasaran kutipan zakat RM800 juta itu dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Years End Zakat (YEZ) 2021 di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, PPZ-MAIWP Labuan telah berjaya mengutip zakat sejumlah RM 3.4 juta berbanding jumlah yang disasarkan pihaknya iaitu sejumlah RM 9.3 juta.

Dengan pelancaran kempen YEZ itu, beliau berharap ia mampu menarik lebih ramai lagi individu (pembayar zakat) baru di pulau ini.

“Kempen ini turut menawarkan sebanyak 1,200 hadiah cabutan bertuah kepada pembayar zakat yang bertuah,” tambahnya.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan bakul makanan menerusi inisiatif Bakul Rezeki kepada lima persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas