Berita

PPZ-MAIWP kutip zakat RM1.03 biliion

- Diterbit 16 Januari 2024 3:20 PM MYT

PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) berjaya mengutip zakat dan wang tunai berjumlah RM1.03 bilion bagi tahun 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohad Na’im Mokhtar berkata kutipan zakat harta dan fitrah ini meningkat 11 peratus berbanding 2022 iaitu sebanyak RM937 juta.

“Zakat Pendapatan menyumbang kutipan tertinggi sebanyak RM702 juta bersamaan 68 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala kedua tertinggi adalah Zakat Perniagaan sebanyak RM165 juta bersamaan 16 peratus daripada kutipan keseluruhan.

“Baki 16 peratus adalah Zakat Wang Simpanan, Zakat Harta, Zakat Fitrah, Qadha dan lain-lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar; Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail

Menuru Mohd Naim jumlah pembayar zakat turut meningkat sebanyak satu peratus iaitu lebih 1.85 juta berbanding lebih 1.83 juta pada pada 2022.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran umat Islam untuk menunaikan zakat, PPZ-MAIWP melaksanakan strategi pemasaran dan promosi berterusan sekali gus dapat menggandakan kutipan dan penyaluran bantuan kepada golongan memerlukan.

Menurut Mohd Na’im, MAIWP telah menaikkan kadar bantuan zakat barangan keperluan asasi golongan asnaf kepada RM300 daripada RM150 sebelumnya, yang diagihkan menerusi aplikasi dompet elektronik (e-wallet).

Pada 2023 PPZ-MAIWP berjaya mengutip Wakaf Tunai berjumlah RM6.64 juta dengan kenaikan 162 peratus berbanding 2022 sebanyak RM2.53 juta dengan jumlah pembayar seramai 14,635 orang.

Katanya, daripada jumlah itu RM4.5 juta adalah melalui kutipan Wakaf Khas selebihnya RM2.1 juta melalui kutipan WakafAm.

“Kaunter PPZ menjadi pilihan pembayar dan berjaya mengutip RM2.1 juta mewakili 33 peratus daripada keseluruhan kutipan diikuti melalui ejen-ejen yang dilantik sebanyak RM1.3 juta (20 peratus), Tabung Masjid RM1.1 juta (17 peratus) dan selebihnya melalui Kaunter Kelompok, Portal PPZ, PotonganGaji dan lain-lain saluran dengan jumlah RM2 juta (30 peratus).

“Bagi 2024 PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat dan wakaf tunai berjumlah RM1.125 billion dengan jumlah pembayar 1.961 juta orang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas