PPV pandu lalu: Dulu sejam, kini sepuluh minit
JURURAWAT melakukan proses suntikan vaksin COVID-19 secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia hari ini. Kredit foto: Bernama

PPV pandu lalu: Dulu sejam, kini sepuluh minit

PEMBUKAAN Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia (SIM) bermula hari ini, membolehkan pemberian vaksin diselesaikan dalam tempoh 10 minit berbanding sejam sebelum ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata, seramai 100 penerima vaksin dos kedua terawal menjadi kumpulan pertama mendapat perkhidmatan pandu-lalu pertama di Perak, dan jumlahnya dijangka bertambah setiap hari mengikut peningkatan kemahiran pasukan mengendalikan urusan berkenaan.

“Idea menyediakan perkhidmatan pandu-lalu tercetus, bagi meringankan cabaran warga emas yang perlu beratur dalam keadaan berkerusi roda, bertongkat dan memerlukan perhatian, di sepanjang proses penerimaan vaksin.

“Pertambahan kaunter pandu-lalu juga, dijangka akan dapat menambah bilangan penerima vaksin di PPV SIM, iaitu sehingga 2,500 orang sehari.

“Langkah ini juga diambil sebagai persediaan untuk menghadapi fasa akan datang (yang menawarkan vaksin kepada golongan di bawah 60 tahun), yang dijangkakan lebih ramai selepas ini,” katanya selepas merasmikan PPV pandu lalu itu, hari ini.

Sebelum ini antara lokasi PPV pandu lalu lain di seluruh negara adalah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) (Kelantan) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Cheras).

Saarani berkata, PPV pandu lalu adalah antara inisiatif kerajaan negeri, bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan pemberian vaksin kepada rakyat, termasuk peningkatan jumlah penerima vaksin dan pertambahan jumlah pemvaksin, yang kini 24 orang berbanding enam sebelum ini.

Beliau berkata, kemampuan pasukan mengendalikan kaedah baru pemberian vaksin melalui pandu-lalu akan diuji secara berfasa, dan ketika ini perkhidmatan pandu-lalu dihadkan untuk penerima vaksin dos kedua sahaja, kerana ia melibatkan proses yang lebih ringkas.

Ditanya mengenai pembukaan PPV pandu lalu kedua di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya, Ipoh, seperti diumumkan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebelum ini, Saarani berkata ia sedang dikaji termasuk aspek kelancaran lalu lintas di lokasi yang dicadangkan itu.

“Kita kena kaji dan lihat dahulu, kerana kita tidak mahu libatkan kenderaan berbaris panjang sehinggakan berlakunya kesesakkan lalu lintas,” katanya yang menambah, lokasi PPV pandu lalu di daerah lain juga sedang dikaji pihaknya ketika ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr. Ding Lay Ming memaklumkan, notifikasi janji temu vaksin bagi pengamal media di seluruh negeri Perak, akan diberikan bermula hari ini.

“Notifikasi janji temu akan melalui proses secara berperingkat mengikut 123 nama pengamal media yang sudah diberikan kepada pihak pengurusan bermula hari ini,” katanya dan turut berpesan agar setiap rakyat Perak segera mendaftar dan mendapatkan vaksin yang tersedia, untuk memerangi pandemik COVID-19.

Pada 7 Jun lepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, petugas media yang berdaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin semalam. — BERNAMA

CATEGORIES