Berita

15,000 sukarelawan digerak bantu pemvaksinan – Rina

DATUK Seri Rina Mohd Harun berkata sukarelawan akan digerakkan untuk membantu proses pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran KPWKM. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 10 Jun 2021 7:04 AM MYT

SERAMAI 15,000 sukarelawan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan digerakkan bagi membantu proses pemberian vaksin, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata sukarelawan terlibat ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), khidmat bantu di rumah JKM, Skuad Prihatin Negara, Skuad Waja, Jabatan Pembangunan Wanita dan Yayasan Kebajikan Negara.

“Sukarelawan akan digerakkan untuk membantu proses pemberian vaksin kepada kumpulan sasaran KPWKM, mempromosikan pendaftaran dan penyebaran maklumat sahih mengenai kebaikan vaksin COVID-19 serta membantu kumpulan sasaran yang amat memerlukan bantuan fizikal seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas terlantar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rina juga berharap masyarakat mengambil berat dan menjadi “mata dan telinga” kerajaan dengan melaporkan  kes yang memerlukan bantuan segera seperti warga emas atau OKU yang berseorangan atau terlantar kepada saluran yang sesuai. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas