Berita

PPj anjur 3 program serentak

ISMAIL (kanan) melancarkan Hari Terbuka Putrajaya, Karnival Putrajaya dan Digital Putrajaya Exhibition and Conference (DiPEC) 2019 sambil dilihat Aminuddin (dua dari kiri) di Kompleks PPj. -FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 26 September 2019 9:36 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PUTRAJAYA- Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menganjurkan tiga buah program serentak iaitu Hari Terbuka Putrajaya, Karnival Putrajaya dan Digital Putrajaya Exhibition and Conference (DiPEC) 2019 yang bermula hujung bulan ini dan awal bulan Oktober ini.

Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, program Hari Terbuka Putrajaya yang julung kali diadakan ini akan menawarkan perkidmatan daripada 23 buah kementerian dan lebih 90 agensi kerajaan.

“Antara perkhidmatan yang disediakan adalah diskaun saman trafik, pemasangan pelekat identifikasi frekuensi radio (RFID) percuma, karnival kerjaya, semakan wang tidak dituntut, urusan pencen, gym percuma dan banyak lagi.

“Antara segmen menarik yang turut diadakan adalah Pameran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berserta aset-aset mereka dan Putrajaya Animal Lovers Fiesta (Palof).

“Kesemua ketua-ketua setiausaha kementerian, termasuk Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerja Raya serta Kementeri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan turut menyertai Hari Terbuka Putrajaya,” katanya semasa sidang media selepas majlis pra pelancaran program tersebut di Kompeks PPj di sini semalam.

Tambah Aminuddin lagi, perkhidmatan bas percuma turut disediakan dari Putrajaya Sentral ke semua bangunan kementerian sebagai kemudahan orang ramai untuk melakukan urusan berkaitan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam ucapan pelancaran berkata, program besar yang julung kali di adakan ini merupakan satu usaha yang wajar dipuji kerana ia melaksanakan konsep ‘one stop center’ untuk semua kementerian yang beroperasi di Putrajaya serta di Kuala Lumpur.

“Untuk menjadikan satu program yang besar seperti ini, bukan kerja mudah banyak melibatkan persediaan logistik serta peruntukan kewangan
yang besar.

“Alhamdulillah, semangat dan pengalaman kita mengorganisasikan program-program besar bersama merupakan satu kelebihan dan pasti program ini akan dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Majlis pra pelancaran disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ismail Bakar. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas